JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Bunuh Pelajar: Zaharif Nazak, Meronta-ronta Selepas Perlanggaran - Saksi

14/11/2024 08:17 PM

IPOH, 14 Nov ( Bernama) -- Seorang remaja lelaki  hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie dilihat dalam keadaan nazak dan meronta-ronta selepas perlanggaran berlaku pada 15 Dis tahun lepas.

Saksi pendakwaan ke-12  itu berkata dia melihat kejadian itu sewaktu mengangkat mangsa selepas diarah oleh pegawai kanan polis DSP Mohd Nazri Abdul Razak yang mengaku sebagai anggota polis selepas turun dari kereta jenis Perodua Ativa.

“Lelaki Melayu yang saya nampak berpakaian baju T-shirt berwarna putih dan seluar tiga suku berwarna hitam datang ke arah Zaharif jatuh dan memarahi saya.

“"Apa pandang saya?! Kau tengok apa? Kau tolong aku angkat dia,' aku polis!" dalam nada yang kuat. Saya berasa takut dan terkejut selepas mendengar kata-kata itu,” katanya.

Bagaimanapun, saksi itu berkata sewaktu dia cuba menolong dengan memapah mangsa, dia hanya berjalan sampai tengah jalan sebelum melepaskan mangsa kerana berasa amat takut melihat keadaan Muhammad Zaharif yang nazak.

Remaja itu berkata dia bergerak semula ke arah tempat Muhammad Zaharif dibaringkan di bucu simpang Jalan Taman Jati 1 untuk melihat semula apa yang berlaku dan nampak mangsa meronta-ronta ke kiri dan ke kanan akibat kesakitan dan cuba bangun namun ditahan oleh seorang lelaki mendakwa bapa mangsa. 

“Pada masa ini, sudah ramai orang campur budak sekolah dan orang awam berkerumun di kawasan tersebut untuk melihat apa yang terjadi.

“Saya ada nampak seorang pakcik yang memakai baju berwarna merah, separuh peluk badan Zaharif sambil mengatakan "Zaharif, ni abah ni ...". Saya kenal pakcik itu sebagai ayah kepada Zaharif kerana selalu ke restoran milik ayahnya untuk makan,” katanya. 

Remaja itu berkata demikian ketika membaca pernyataan bertulisnya di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada perbicaraan kes Mohd Nazri, 44, yang didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Dis 2023.

Menurut saksi sewaktu kejadian itu berlaku dia  baru keluar dari kelas sedang berjalan menuju ke kenderaan milik ibunya yang diparkir di seberang jalan berhampiran lokasi kejadian perlanggaran tersebut.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam M. Athimulan yang mewakili Mohd Nazri, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa dia mengetahui ibunya menelefon ambulans berdasarkan perbualan yang didengari pada waktu itu.

Athimulan: Macam mana tahu ibu call ambulans? 

Saksi: Saya tahu sewaktu ibu call dan cakap boleh cepat sikit tak ... ada orang dah nak mati ni 

Athimulan: Kamu ada dengar perkataan ambulans?

Saksi: Tiada 

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-13,  Zuraida Hassan, 46, juga pemilik dashcam yang merakam kejadian perlanggaran yang berlaku antara kereta Ativa dan motosikal berkata sewaktu kejadian dia mahu mengambil anaknya di Sekolah Menengah Kebangsaan Jati. 

Suri rumah itu berkata dia menyedari pelanggaran itu berlaku selepas terdengar bunyi dentuman yang melepasi kenderaannya yang diparkir di bahu jalan tersebut.

“Saya terus turun dari kereta dan hubungi 999. Pada masa yang sama anak saya telah datang, anak saya ada cuba mengangkat budak sekolah itu,” katanya ketika membaca pernyataan saksinya.

Zuraida berkata semasa menunggu anaknya tamat sesi persekolahan dia juga ada nampak beberapa pelajar sekolah sedang membuat bunyi “rem” motosikal dan berpusing-pusing.

Semasa pemeriksaan balas oleh Athimulan, saksi menjelaskan terdapat kira-kira tujuh hingga lapan pelajar sekolah yang  membuat bunyi “rem” motosikal dan berpusing-pusing dari masjid dan ke bawah ke arah sekolah beberapa kali.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 

KEYWORDS
       
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy