KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Sebuah kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) petang tadi.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata kenderaan membawa muatan dua kereta perisai ADNAN daripada pasukan yang berpangkalan di Mentakab, Pahang, terbalik akibat kemalangan itu.
Beliau berkata ketika kejadian pada 4.48 petang, kenderaan berkenaan dalam perjalanan ke Gemas, Negeri Sembilan untuk tujuan latihan.
“Punca kemalangan masih dalam siasatan. Namun, tiada kecederaan kepada anggota mahupun orang awam dilaporkan. KPKP mengalami kerosakan,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kemalangan berlaku di KM35.2 arah Barat dari Genting Sempah ke Gombak.
Jurucakap LLM ketika dihubungi berkata kedua-dua lorong kanan arah barat dan timur terhalang akibat kemalangan itu.
“Keadaan terkini setakat 8 malam, terdapat kesesakan lalu lintas sejauh tiga kilometer di lorong kanan arah barat manakala di lorong kanan arah timur pula kesesakan sepanjang satu kilometer. Ini susulan kerja-kerja pembersihan dan pengalihan treler sedang giat dijalankan,” katanya.
-- BERNAMA