AM

RM450,000 Untuk Naik Taraf Taman Rekreasi MADANI Rapat Setia

08/11/2024 03:03 PM

IPOH, 8 Nov (Bernama) -- Sebanyak RM450,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf Taman Rekreasi MADANI Rapat Setia di Jalan Jaafar Taha di sini.

Kerja-kerja menaik taraf taman rekreasi berkenaan menerusi peruntukan yang disediakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu akan dimulakan pada pertengahan November ini dan dijangka mengambil masa kira-kira 16 minggu untuk disiapkan sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai Wong Chai Yi berkata taman rekreasi berkeluasan kira-kira 0.7 hektar itu akan menyediakan kemudahan, seperti laluan pejalan kaki, gelanggang serba guna, plaza permainan, alatan senaman dan kemudahan lain untuk kegunaan dan keselesaan penduduk setempat.

"Padang Rapat Setia ini sudah lama dan kebanyakan kemudahan agak uzur serta tidak boleh digunakan lagi, selain ia tidak memenuhi kehendak penduduk setempat menyebabkan mereka pergi ke tempat lain untuk beriadah atau bersenam," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau taman rekreasi berkenaan di sini hari ini.

Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing pula berharap taman rekreasi itu dapat dijaga dengan baik oleh penduduk setempat apabila siap sepenuhnya dan tidak ada mana-mana pihak melakukan perbuatan vandalisme.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy