JENAYAH & MAHKAMAH

Timbalan Mudir Tidak Mengaku Bersalah Mengajar Tanpa Tauliah Di Rembau

14/11/2024 11:30 AM

REMBAU, 14 Nov (Bernama) -- Seorang timbalan mudir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas pertuduhan mengajar tanpa tauliah di sebuah madrasah di Daerah Rembau.

Muhammad Ghazalyi Othman, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim bicara Nurul Fadhlina Che Daud.

Mengikut pertuduhan Muhammad Ghazalyi didakwa mengajar agama Islam berkaitan tauhid dan tafsir di sebuah madrasah di Kampung Senama Hilir tanpa tauliah mengajar daripada Jawatankuasa Tauliah yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, antara penghujung 2022 hingga September lepas.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 53 Enakmen-Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 Pindaan 2019 iaitu mengajar agama tanpa tauliah yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Kanan Zarul Izham Jaapar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim memutuskan jaminan RM2,500 dengan dua penjamin bermaustatin di Negeri Sembilan dan menetapkan sebutan semula kes pada 16 Jan depan.

Dua hari lepas, Muhammad Ghazalyi tidak mengaku bersalah mengamalkan bacaan zikir Aurad Muhammadiah iaitu perbuatan bertentangan dengan hukum syarak di tempat dan tempoh yang sama di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 52 Enakmen-Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 iaitu perbuatan salah boleh dihukum denda maksimum RM5,000, penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy