AM

UTP Terus Perkukuh Kedudukan Dalam QS Asia University Rankings 2025

08/11/2024 03:20 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti terkemuka Asia dengan melonjak 16 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-53 dalam QS Asia University Rankings 2025.

Pencapaian ini meletakkan UTP antara lima peratus terbaik dalam kalangan universiti Asia daripada keseluruhan 984 institusi yang dinilai.

Prestasi universiti menunjukkan peningkatan ketara merentas semua domain terutamanya berkaitan reputasi akademik, majikan dan petikan setiap kertas sekali gus mencerminkan peningkatan impak global UTP dan keupayaan melahirkan graduan yang amat dicari-cari.

Dalam satu kenyataan hari ini, UTP memaklumkan universiti ini telah memperkukuh pencapaian dalam QS Asia University Ranking secara berterusan, menunjukkan peningkatan trajektori yang stabil daripada kedudukan ke-127 pada 2016 kepada ke-53 tahun ini berbanding ke-69 sebelumnya.

“Kemajuan luar biasa ini menyerlahkan komitmen mantap universiti terhadap kecemerlangan akademik dan keupayaannya untuk menyesuaikan diri dengan landskap pendidikan tinggi dunia yang semakin berkembang.

“Pencapaian ini diperkukuh dengan kemasukan UTP ke dalam senarai 250 teratas Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025, kali pertama untuk universiti Malaysia yang mencerminkan reputasi konsisten universiti itu dalam ranking dunia,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib amat berbangga dengan pencapaian berkenaan sambil menyifatkannya sebagai cerminan dedikasi dan komitmen seluruh komuniti UTP termasuk fakulti, kakitangan, pelajar dan alumni.

“Kami berterima kasih kepada PETRONAS, rakan kongsi industri, dan rakan usaha sama akademik atas sokongan serta perkongsian mereka. Pengiktirafan ini mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju global dalam pendidikan tinggi, menghasilkan graduan bertaraf dunia yang bersedia untuk membentuk masa depan.

“Kerjasama secara meluas dengan rakan kongsi industri dan mengutamakan penyelidikan yang menangani masalah sebenar dunia, kami melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang mereka perlukan untuk terus maju pada tahun-tahun akan datang.

"Kami juga komited untuk membangunkan individu serba lengkap yang boleh menyesuaikan diri, inklusif dan mempunyai minda bertaraf dunia," tambahnya.

Untuk menangani cabaran masa depan, UTP akan terus mengutamakan penyelidikan dalam bidang utama seperti peralihan tenaga, kehidupan mampan dan teknologi digital.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy