AM

MTL Dijangka Kemuncak Pada Penghujung November

08/11/2024 04:08 PM

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Monsun Timur Laut (MTL) dijangka mencapai kemuncaknya pada penghujung bulan ini menyaksikan taburan yang tinggi di sempadan Malaysia-Thailand selain negeri di pantai timur serta Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata dalam tempoh itu, negeri-negeri berkenaan dijangka menerima taburan hujan antara 20 hingga 40 peratus lebih tinggi berbanding kadar biasa.

Mohd Hisham berkata bagi negeri di Semenanjung, tempohnya bermula penghujung November sehingga awal Januari depan manakala di Sabah dan Sarawak dijangka sehingga Februari atau Mac.

"Walaupun ramalan menjangkakan taburan hujan meningkat 20 hingga 40 peratus, tidak semestinya banjir besar akan berlaku, banjir besar hanya berlaku jika taburan hujan yang tinggi dicatatkan dalam tempoh yang pendek, sebagai contoh melebihi 20 peratus dalam tempoh dua hari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri sesi libat urus persiapan kerajaan menghadapi MTL 2024/2025 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia di Pulau Meranti dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Hisham juga menyeru orang ramai untuk memuat turun aplikasi myCuaca sebagai rujukan ramalan cuaca di lokasi masing-masing.

“Segala maklumat terkini berhubung cuaca akan dimaklumkan dalam aplikasi berkenaan, malah turut dikongsi maklumat berkaitan situasi laut dan gempa bumi. Sehingga kini seramai 200,000 pengguna telah memuat turun aplikasi itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara Jabatan Pengairan dan Saliran Dr Salwa Ramly berkata pihaknya telah menjalankan kerja selenggara terhadap 500 siren amaran banjir di seluruh negara sebagai persiapan menghadapi MTL.

Salwa berkata siren berkenaan memberi amaran kepada penduduk setempat berdasarkan kepada status aras air sungai dengan bunyi yang boleh didengar sehingga dua kilometer.

Beliau seterusnya berkata orang ramai juga diminta melaporkan kepada pihaknya jika terlihat mana-mana siren amaran banjir yang rosak di kawasan masing-masing agar tindakan segera boleh diambil.

"Kami sarankan masyarakat supaya turut menjaga siren ini sebab ada yang tidak berbunyi kerana perbuatan vandalisme selain terlalu banyak sampah tersangkut pada siren berkenaan," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy