Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Taobao Malaysia memperkenalkan pelbagai penambahbaikan perkhidmatan baharu bagi memudahkan lagi pembeli Malaysia membeli belah rentas sempadan dengan lancar.
Disesuaikan dengan penambahbaikan daripada navigasi aplikasi hingga kepada penghantaran, platform tersebut menawarkan ciri seperti penghantaran terus dan percuma, dengan 92 peratus produk layak untuk penghantaran terus ke rumah dan pesanan bernilai lebih 199 renminbi layak untuk penghantaran percuma.
“Barang yang dihantar terus boleh sampai dalam tempoh lima hari. Kami kini menawarkan ratusan juta barangan yang layak untuk penghantaran percuma,” kata Jess Lew, Pengurus Negara Tmall Taobao World, Malaysia.
Beliau berkata dengan penambahan antara muka bahasa Inggeris, Taobao Malaysia juga memecahkan halangan bahasa dan menghapuskan tanggapan bahawa membeli-belah di luar negara adalah rumit.
Antara muka menyediakan penerangan produk secara terperinci dalam bahasa Inggeris yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), anggaran harga dalam Ringgit Malaysia dan susun atur yang mesra pengguna.
Sokongan pelanggan kini tersedia dalam bahasa Inggeris dan Cina, khusus untuk pengguna Malaysia.
“Dalam beberapa minggu sahaja selepas memperkenalkan antara muka aplikasi berbahasa Inggeris, pengguna ciri baharu ini sudah menyumbang kira-kira 20 peratus daripada pengguna baharu Taobao Malaysia.Ini menunjukkan permintaan tinggi terhadap produk yang dihoskan oleh platform kami dalam kalangan penutur bahasa Inggeris di sini,” kata Lew.
Selain itu, acara jualan 11.11 platform itu mencapai kemajuan memberangsangkan, mencatatkan pertumbuhan lebih 100 peratus dalam nilai barangan kasar (GMV) merentas kategori utama seperti fesyen, elektronik dan barangan rumah semasa tempoh beli belah awal yang berakhir pada 24 Okt.
Data daripada tempoh beli-belah awal ini menunjukkan pengguna Malaysia bersiap sedia untuk musim cuti akhir tahun dan Tahun Baharu, dengan pakaian lelaki dan pakaian santai rehat untuk lelaki dan wanita mencatatkan pertumbuhan GMV melebihi 160 peratus.
Kamera digital dan kamkoder juga mencatatkan pertumbuhan GMV menakjubkan melebihi 1,000 peratus, mencerminkan lonjakan dalam aliran langsung dan trend pembinaan jenama peribadi dalam kalangan rakyat Malaysia di media sosial.
Taobao Permudah Pulangan, Perluas Pilihan Pembayaran bagi Pembeli Malaysia
Taobao Malaysia juga telah mempermudahkan lagi pengalaman membeli-belah dengan pemulangan tempatan tanpa kerumitan dan polisi pampasan yang terjamin.
Pembeli boleh membuat pemulangan barang dengan mudah melalui perkhidmatan tempatan, tanpa perlu menghantar semula barangan kepada penjual asal di luar negara.
Selain itu, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menjadualkan pengambilan dari rumah bagi pemulangan, dengan 90 peratus barangan dikumpulkan oleh rakan kongsi logistik Taobao, Cainiao, pada hari berikutnya selepas permintaan diserahkan.
Secara kerjasama dengan Cainiao, Taobao juga meningkatkan perkhidmatan penghantaran untuk memastikan ketibaan yang lebih cepat dan terjamin.
Bermula November, Cainiao akan meluaskan kemudahan penyisihannya di Malaysia sebanyak 3,000 meter persegi, yang akan meningkatkan lagi kecekapan peredaran barangan.
Selain itu, peningkatan kekerapan penghantaran ke Malaysia Barat akan mengurangkan kesesakan dan menyelaraskan pelepasan kastam di pelabuhan destinasi.
Untuk jaminan tambahan, Taobao Malaysia menawarkan pampasan sehingga 5,000 renminbi (RM3,000) dalam kes yang jarang berlaku apabila pesanan ditangguhkan melebihi tempoh yang dijamin.
Melengkapkan penambahbaikan ini, portal beli-belah dalam talian itu menyediakan pelbagai pilihan pembayaran yang disesuaikan untuk pengguna tempatan, termasuk Touch 'n Go eWallet, Lazada Wallet, Apple Pay, ansuran kad kredit dan perbankan dalam talian, semuanya bertujuan untuk menjadikan transaksi lebih lancar dan fleksibel kepada pembeli.
Diskaun Besar-Besaran Jualan 11.11
Taobao Malaysia sedang melancarkan promosi istimewa untuk Jualan 11.11, menawarkan diskaun seluruh platform sebanyak 50 renminbi (RM29) untuk setiap 300 renminbi (RM170) yang dibelanjakan, diskaun kejutan, baucar penghantaran percuma setiap hari, kod diskaun dan banyak lagi.
Untuk memastikan penjimatan maksimum, platform itu juga menawarkan diskaun kepada pemegang kad CIMB (potongan RM25 dengan perbelanjaan minimum RM180), pemegang kad RHB (potongan RM38 dengan perbelanjaan minimum RM250 atau diskaun RM50 dengan perbelanjaan minimum RM500), dan pemegang kad Public Bank.
Selain itu Taobao juga menganjurkan “Taobao x Tapak |Karnival G11.11LER!” dari 7-10 Nov di Tapak Urban Street Dining di Kuala Lumpur, menampilkan aktiviti menyeronokkan dan konsert mini dengan tawaran barangan Taobao untuk dimenangi.
-- BERNAMA