AM

Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024 Lancar, Majoriti Peniaga Patuhi Harga Maksimum

09/11/2024 04:35 PM

PUTRAJAYA, 9 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 berjalan lancar dengan majoriti peniaga mematuhi perundangan harga maksimum yang dikuatkuasakan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata sepanjang tempoh SHMMP Deepavali 2024 sebanyak 3,887 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara.

Beliau berkata ia merangkumi 61 pemeriksaan ke atas premis pengeluar dan borong serta 3,826 pemeriksaan premis runcit. 

“Hasil pemeriksaan berkenaan, sejumlah 66 kes telah dihasilkan melibatkan sitaan bernilai RM3,870.50 serta jumlah kompaun RM7,100 kerana kegagalan peniaga menggunakan tanda harga khas merah jambu (65 kes) dan menjual melebihi harga maksimum (satu kes).

“KPDN juga tidak menerima sebarang aduan semasa pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024. Majoriti peniaga yang diperiksa komited dan mematuhi perundangan harga maksimum yang dikuatkuasakan sepanjang pelaksanaan skim ini,” katanya.

Beliau berkata KPDN merakamkan penghargaan kepada pihak industri dan keseluruhan peniaga atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan skim berkenaan.

SHMMP Deepavali 2024 diadakan bermula 28 Okt hingga 3 Nov lepas. Tempoh pelaksanaan selama tujuh hari, berkuat kuasa tiga hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.

Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024 ialah langkah kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama kepada masyarakat yang menyambut perayaan berkenaan.

Sebanyak lapan jenis barangan harga terkawal berserta harga maksimum telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy