AM

Projek Fasa Kedua IKMAS Mampu Ganda Bilangan Kemasukan Pelajar - Nanta

09/11/2024 07:12 PM

KUCHING, 9 Nov (Bernama) -- Projek Pembinaan Fasa Kedua Institut Kemahiran Islam Sarawak (IKMAS) dapat menggandakan kapasiti dan bilangan kemasukan pelajar ke institut pendidikan tinggi itu kepada 550 penuntut berbanding 290 pada masa ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek melibatkan fasiliti tambahan bernilai RM34.3 juta dan seluas kira-kira satu hektar itu telah siap sepenuhnya pada Mac lepas dengan perakuan siap kerja (CP) telah dikeluarkan pada 9 Ogos lepas.

“Saya yakin sumbangan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam menguruskan pembinaan bangunan tambahan ini dapat membantu IKMAS mengorak langkah menjadi satu daripada institusi pengajian tinggi yang memiliki keseimbangan dalam aspek akademik dan rohani iaitu akhlak dan jati diri.

“Saya difahamkan, IKMAS melatih pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bidang pengajian Islam dan Tahfiz di peringkat Diploma dan juga sijil Kemahiran Vokasional,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Fasa Kedua IKMAS di sini hari ini. 

Projek berkenaan melibatkan beberapa pembinaan kemudahan antaranya satu blok akademik dua tingkat, masjid, menara tangki air, gelanggang sukan dan tempat parkir kereta serta motosikal. 

Nanta turut mengingatkan pihak kontraktor supaya dapat mengekalkan komitmen dan meneruskan tanggungjawab mereka dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP).

“Jabatan Kerja Raya juga hendaklah terus memantau rapi proses pascapenyerahan bangunan supaya tiada perkara yang tertangguh dan dilaksanakan mengikut ketetapan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy