Oleh Mohamad Syazwan Mustafa
KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Peruntukan RM450 juta yang disediakan oleh kerajaan kepada kontraktor kecil bumiputera menerusi Belanjawan 2025 dijangka memberi impak besar kepada industri pembinaan negara serta merancakkan pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat.
Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Nur Izzi Md Yusoff berkata peruntukan besar itu berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada kontraktor kecil untuk bersaing dengan kontraktor besar dalam projek infrastruktur berskala besar.
“Peruntukan ini jika disalurkan dengan bijak dapat memberi peluang kepada kontraktor kecil untuk terlibat dalam pelbagai peringkat kerja pembinaan jalan, penyelenggaraan, pembaikan, serta kerja-kerja kecil seperti pengurusan tapak dan perkhidmatan sokongan.
“Ia juga memberi peluang kepada kontraktor kecil untuk meningkatkan kapasiti mereka dari segi sumber manusia, peralatan dan teknologi. Dana ini boleh digunakan untuk membeli peralatan baharu atau membaharui peralatan sedia ada yang mampu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Selain itu, Nur Izzi berkata peruntukan itu juga boleh digunakan untuk latihan dan pembangunan kemahiran pekerja bagi membolehkan kontraktor kecil bersaing dengan lebih baik dalam pasaran.
Pada 19 Okt lepas, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan bahawa Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM10.35 bilion bagi Belanjawan 2025, iaitu peningkatan sembilan peratus berbanding RM9.511 bilion pada tahun ini.
Nanta berkata sebanyak RM450 juta dikhaskan untuk memperkasa kontraktor kecil bumiputera Kelas G1-G4, yang kini berjumlah 15,185 orang, bagi kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan. Peningkatan peruntukan itu dijangka memperkasa lebih ramai kontraktor terbabit.
Sementara itu, sejumlah RM178 juta diperuntukkan bagi projek pemasangan lampu jalan baharu dan lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan di seluruh negara manakala RM30 juta disediakan kepada 115 jurutera daerah Jabatan Kerja Raya untuk mempercepat keputusan serta pelaksanaan kerja-kerja mendadak dan ad hoc yang memerlukan tindakan segera.
Kedua-dua peruntukan itu berserta dengan peruntukan bagi penyenggaraan Jalan Persekutuan dan Jalan Sekunder sejajar dengan aspirasi MYJalan dalam menyediakan infrastruktur yang selamat dan selesa.
Menjelaskan lanjut, Nur Izzi berkata peruntukan khas untuk projek-projek jalan raya ini dijangka menghasilkan infrastruktur jalan yang lebih baik sekali gus mampu mengurangkan kesesakan trafik, meningkatkan akses ke kawasan pedalaman dan luar bandar serta mengurangkan kos pengangkutan.
Berhubung peruntukan RM178 juta bagi pemasangan lampu jalan baharu dan lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan, Nur Izzi menyifatkannya sebagai langkah baik dalam meningkatkan keselamatan jalan raya dan kecekapan sistem pengurusan trafik.
Beliau juga berpandangan bahawa kerajaan seharusnya mengambil langkah yang lebih berani dan strategik untuk memperkasakan kontraktor bumiputera dalam sektor pembinaan dan baik pulih jalan menerusi Belanjawan 2025.
“Hal ini boleh dilakukan melalui peningkatan akses pembiayaan, latihan dan pembangunan kapasiti serta penggunaan teknologi moden yang dapat membantu meningkatkan daya saing kontraktor bumiputera. Kolaborasi industri, penilaian berkala dan penglibatan dalam perancangan awal juga penting.
“Dengan pendekatan menyeluruh ini, kontraktor bumiputera akan lebih bersedia untuk memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur negara,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Datuk Azman Yusoff berkata pendekatan kerajaan menerusi peruntukan besar ini pasti akan memberikan kesan positif bagi merancakkan industri pembinaan sekali gus memberi manfaat kepada penggiat industri dan rakyat.
“Peruntukan RM450 juta kepada kontraktor G1-G4 ini memberi sinar kepada ahli-ahli kami. Usaha ini akan menggerakkan pusingan ekonomi dengan kesan berganda yang sangat positif dan merancakkan kegiatan industri pembinaan negara.
“Bagaimanapun, kami merayu agar peruntukan ini disalurkan secara langsung kepada kontraktor melalui satu sistem pemberian tanpa melalui pihak konsesi,” katanya.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF Malaysia) Tukiman Radion pula berkata peruntukan kepada kontraktor kecil itu mampu memberi manfaat kepada sektor berkenaan, namun beliau melihat ada ruang untuk menambah dana.
Tukiman berpandangan bahawa penambahan peruntukan diperlukan kerana skop kerja kontraktor kecil lazimnya melibatkan kerja-kerja utama KKR, seperti membaik pulih jalan raya, bangunan, saliran air, jambatan, dan cerun yang penting untuk kesejahteraan rakyat.
“Saya mencadangkan agar Kementerian Kewangan menambah peruntukan ini kepada RM1 bilion untuk kontraktor kecil. Kebiasaannya, skop kerja KKR adalah khusus untuk kontraktor kecil dan dengan jumlah kontraktor yang begitu ramai, kami berharap peruntukan ini dapat digandakan.
“Selain itu, kami berharap projek-projek ini dapat diagihkan terus oleh KKR melalui Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran kepada penggiat industri tanpa melalui konsesi kerana apabila melalui konsesi, nilai dan keuntungannya berkurangan,” katanya.
Beliau turut memohon agar KKR tidak meneruskan konsesi bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan Persekutuan, jalan bandaran dan jalan kampung yang akan tamat tempoh pada tahun hadapan supaya projek-projek kecil ini dapat diagihkan terus kepada kontraktor dalam kumpulan terbabit.
-- BERNAMA