ISKANDAR PUTERI, 10 Nov (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) membenam Perak FC 5-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Skuad kendalian Hector Bidoglio membuka tirai jaringan menerusi Romel Morales pada minit ke-21 sebelum penyerang sensasi, Bergson Da Silva menggandakan jaringan dua minit kemudian.
Turun sebagai tuan rumah, Perak FC yang ketinggalan sekali lagi dihukum JDT apabila Morales meledak gawang pada minit ke-35 selepas menerima hantaran Juan Muniz.
JDT terus mengukuhkan kedudukan pada masa tambahan selepas dihadiahkan sepakan penalti menerusi semakan video bantuan pengadil (VAR) berikutan pertahanan Perak FC Jesper Nyholm mengasari Bergson dan jaringan disempurnakan Bergson.
Bersambung babak kedua, JDT dilihat lebih bertahan manakala skuad kendalian Yusri Che Lah masih gagal untuk memecah kebuntuan.
Perlawanan di gelanggang keramat Harimau Selatan itu turut menyaksikan kekasaran berlaku antara Arif Aiman Mohd Hanapi dan Tommy Mawat, sekali gus kedua-duanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil Razlan Joffri Ali.
Bagaimanapun tidak menunggu lama, Bergson melengkapkan hatrik pada minit ke-89 dan keputusan kekal 5-0 sehingga tiupan wisel penamat.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan, venue perlawanan tertunda Liga Super 2024/2025 antara Perak FC dan juara bertahan JDT yang sepatutnya berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung hari ini, ditukar ke Stadium Sultan Ibrahim, di sini.
Menurut MFL, Perak telah diminta untuk menamakan venue alternatif berikutan risiko keselamatan bagi perlawanan berprofil tinggi itu.
Permintaan daripada MFL itu juga disebabkan untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini yang mungkin akan merencatkan lagi jadual liga musim ini.
-- BERNAMA