IPOH, 12 Nov (Bernama) -- Seorang pengusaha stesen minyak didenda RM27,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan membenarkan penjualan diesel ke dalam tangki lori yang telah diubah suai.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam kenyataan memaklumkan Haslina Khairulzaman, 54, boleh dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Wanita itu didakwa melakukan kesalahan terbabit di stesen minyak Petronas di Kampar kira-kira 11.15 malam pada 14 Nov tahun lepas.
Dia didapati melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang tidak membenarkan penjualan bahan api diesel dan semua gred petrol kecuali untuk tangki asal kenderaan.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa KPDN Muhammad Ridzuan Abd Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail dalam kenyataan sama berkata tindakan kes diambil berdasarkan pemeriksaan dilakukan oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDN Perak di premis berkenaan yang gagal mematuhi arahan pengawal melalui syarat khas lesen dengan menjual 4,996 liter minyak diesel yang diisi ke dalam tangki lori yang telah diubah suai.
"KPDN memberi amaran dan tidak akan berkompromi dengan pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti atau sindiket penyelewengan barang-barang kawalan selain akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan dengan inisiatif baharu dikenali sebagai Kita Gempur," katanya.
-- BERNAMA