KUANTAN, 12 Nov (Bernama) -- Seorang jurutera kerugian RM146,000 setelah terpedaya dengan iklan jualan sebuah kenderaan import melalui media sosial pada awal bulan ini.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 38 tahun itu tertarik dengan iklan penjualan kereta jenis Volkswagen Kombi di Facebook yang kononnya dijual pada harga RM146,000 pada 4 Nov lepas.
Beliau berkata mangsa yang berminat dengan tawaran harga tersebut menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan bersetuju untuk membeli empat buah kenderaan jenis itu dengan harga keseluruhan RM146,000.
“Sebanyak 15 transaksi wang ke empat akaun bank berbeza telah dilakukan oleh mangsa menggunakan wang simpanannya. Mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila suspek mengatakan bahawa dia tidak perlu berjumpa untuk mengambil kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran jualan murah dan disarankan supaya masyarakat membuat semakan nombor akaun serta nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi.
-- BERNAMA