PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan rayuan penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo bagi membatalkan perintah larangan bersuara (gag order) ke atasnya untuk menghalang beliau daripada membuat sebarang kenyataan atau komen berkaitan pertuduhan hasutan yang dihadapinya.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah mengenakan perintah itu ke atas Wan Muhammad Azri.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Wan Muhammad Azri memberitahu Bernama bahawa Hakim Azizul yang menyampai keputusan mahkamah itu berpendapat bahawa pendakwaan gagal mengemukakan apa-apa bahan atau fakta untuk menunjukkan, antaranya lain, risiko sebenar dan besar terhadap keadilan perbicaraan.
Beliau berkata Azizul Azmi turut memutuskan bahawa prinsip yang mesti diikuti sebelum mengenakan sebarang perintah larangan bersuara digariskan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Razak.
Wan Muhammad Azri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Mei tahun lepas atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, di laman Twitter atau X miliknya.
Bekas Exco Pemuda Umno berusia 41 tahun itu dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang pada 12 tengah hari, 29 April tahun lepas.
Pertuduhan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 27 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengenakan perintah larangan bersuara ke atas Wan Muhammad Azri selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan mereka bagi perintah larangan bersuara itu.
Mahkamah Sesyen telah menetapkan tiga hari bermula 3 Mac ini untuk perbicaraan.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir mewakili pihak pendakwaan.
-- BERNAMA