AM

Pindaan Akta Persaingan Dijangka Dibentang Pada Sesi Parlimen Akan Datang

12/11/2024 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Pindaan terhadap Akta Persaingan 2010 sebagai usaha mencegah aktiviti kartel dalam pasaran dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) juga sedang giat memperkasakan perundangan menerusi cadangan pindaan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 bagi memperkukuh kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan.

"Selain itu, (pindaan akta) juga memperkenalkan rejim kawalan penggabungan bagi memastikan MyCC dapat membanteras pembentukan kartel atau mengawal selia pembentukan monopoli dalam pasaran yang merujuk kepada penyalahgunaan kuasa dominan monopoli.

"Insya-Allah, pindaan kepada akta ini disasarkan untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Dewan Rakyat akan datang sebaik mendapat keputusan Jemaah Menteri," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Armizan berkata KPDN dijangka membuat keputusan dasar berkaitan cadangan pelaksanaan Lemon Law, iaitu perundangan bagi melindungi pengguna dalam urusan pembelian kenderaan, dalam masa terdekat.

Mengenai Menu Rahmah, beliau berkata KPDN komited supaya program itu diteruskan di lokasi-lokasi tertentu seperti kawasan industri dan perumahan kos rendah.

Armizan berkata KPDN bercadang memberikan akses kepada peniaga yang menawarkan Menu Rahmah secara konsisten untuk membuat pembelian barangan pada kuantiti yang lebih banyak di bawah Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM).

"Kita mengharapkan dengan pendekatan melalui PJRM ini, kita melibatkan peniaga Menu Rahmah maka program ini walaupun mungkin tidak diperluas di seluruh negara, tetapi ia masih wujud sebagai alternatif kepada golongan memerlukan," katanya.

-- BERNAMA 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy