JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Rampas Ganja Dan Syabu Bernilai RM6.4 Juta, Tahan Tiga Lelaki

12/11/2024 07:23 PM

SHAH ALAM, 12 Nov (Bernama) -- Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran ganja dan syabu di Lembah Klang serta Sabah berikutan penahanan tiga lelaki membabitkan rampasan dadah bernilai lebih RM6.4 juta pada 6 dan 7 Nov lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata bagi kes pertama, polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan seorang lelaki di hadapan sebuah kondominium di sekitar Petaling Jaya kira-kira 1.30 tengah hari serta merampas dadah jenis ganja seberat 8,500 gram.

Beliau berkata suspek kemudian membawa polis ke sebuah unit di kondominium terbabit dan menemukan 689 peket makanan ringan disyaki mempunyai campuran ganja seberat 37,963 gram, bunga ganja seberat 140,900 gram, cendawan disyaki mengandungi dadah dengan anggaran berat 847 gram serta cecair vape dipercayai mempunyai campuran ganja anggaran isi padu 80 mililiter.

"Dadah-dadah ini dipercayai dibeli dan dijual secara dalam talian antaranya melalui aplikasi Telegram dengan menyasarkan pembeli dari dalam dan luar negara.

"Tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan polis turut menyita sebuah kereta jenis Proton X50 bernilai RM76,000," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata suspek yang bekerja sebagai pegawai pemasaran syarikat digital, sudah berkahwin dan mempunyai dua anak serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah itu dipercayai telah memulakan aktiviti menjual dadah secara dalam talian sejak setahun lepas.

Beliau berkata lelaki berumur 37 tahun itu dipercayai bergerak secara solo bermula dari sebuah rumah sebelum menyewa kondominium berkenaan sebagai lokasi melaksanakan jenayah terbabit.

Bagi kes kedua, Hussein berkata polis menahan seorang lelaki ketika cuba menyeludup keluar syabu seberat 8.04 gram bernilai RM257,300 ke Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 kira-kira 5.30 pagi pada 7 Nov lepas.

Beliau berkata siasatan mendapati pembantu restoran berumur 23 tahun itu bersama seorang lagi rakan dipercayai diupah oleh sindiket hingga RM5,000 serta diberikan tiket penerbangan dua hala dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur bagi menjayakan misi berkenaan.

Hussein berkata kedua-dua supek datang ke Semenanjung dua hari sebelum kejadian dan menginap di sebuah hotel di Putrajaya sebelum mereka menerima dadah yang dihantar oleh pihak sindiket untuk dibawa pulang ke Sabah.

“Apabila pembantu restoran itu daftar masuk bagasi, kita telah mengesan ada dadah di dalam begnya dan bertindak menahan suspek.

"Seorang lagi rakan suspek yang terlepas daftar masuk, bagaimanapun berjaya ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) susulan laporan maklumat diberikan Polis Selangor kepada Polis Sabah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata penangkapan rakan suspek membawa kepada rampasan syabu seberat 23,500 gram.

Beliau berkata kes itu merupakan kali kedua bagi kedua-dua suspek menyeludup dadah dari Semenanjung untuk pasaran sekitar Sabah dengan kali pertama adalah pada September lepas.

"Suspek bagi kes pertama dan kedua ditahan reman masing-masing enam dan tujuh hari, dan kes disiasat mengikut Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy