KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun disyaki menceroboh sebuah bangunan di Bukit OUG di sini, dengan memecahkan pintu kaca menggunakan botol air berisi minyak petrol awal pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian pukul 4.10 pagi tadi, dan polis telah menahan seorang lelaki di tempat kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek yang bekerja sebagai penghantar barang memiliki lapan botol air mineral diisi dengan minyak petrol, dan setiap satu botol diikat bersama-sama sebiji mercun bola.
“Selain itu, terdapat satu botol air aluminium disyaki telah diisi penuh dengan mercun bola. Kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA