KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Balai Seni Negara akan menganjurkan Pameran Sunyi dan Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 di Langkawi bermula 15 Nov ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Balai Seni Negara berkata dua acara itu merupakan sebahagian daripada program sokongan di bawah Program Residensi Bakat Muda Sezaman 2024, yang bertujuan memberi ruang kepada perkembangan serta pendedahan lebih mendalam bagi bakat muda dalam seni kontemporari.
"Pameran dan simposium ini adalah langkah penting bagi mempersiap artis muda menghadapi cabaran dunia seni yang lebih luas.
"Program ini turut mengukuhkan komitmen Balai Seni Negara dalam menyediakan ruang buat mereka untuk berkarya, berinteraksi dengan komuniti seni serta mengembangkan kreativiti, yang mampu memberi impak besar kepada landskap seni tempatan dan antarabangsa," demikian menurut kenyataan itu.
Pameran Sunyi yang dijadualkan dari 15 hingga 24 Nov di Hospital Lama Kuah, mengajak pengunjung meneroka tema “sunyi” melalui pelbagai perspektif dalam dunia seni visual yang lahir daripada persoalan sosial dan alam sekitar di Langkawi pascapandemik COVID-19.
“Sunyi juga menggambarkan ketenangan yang terhampar dalam keindahan alam semula jadi Langkawi, serta gaya hidup lebih damai, jauh dari hiruk-pikuk kehidupan kota besar.
“Dalam konteks ini, ‘sunyi’ dilihat dari sudut positif, memberikan ruang refleksi serta penghargaan terhadap nilai kehidupan lebih luhur seperti perayaan ‘Nyepi’ di Bali, Indonesia yang disambut dalam suasana sunyi serta penuh dengan makna spiritual yang mendalam,” menurut kenyataan itu.
Pameran itu akan menggabungkan 11 artis muda yang aktif dalam menghasilkan seni instalasi site-specific seperti Alvin Lau, Arikwibowo Amril, Azam Aris, Fauzan Fuad, Hannah Moujing, Khabir Roslan, Ng Yi Kee, Ryan Tang, Sim Hoi Ling, Teo Wey Yinn dan Ahmad Rajaie.
pic-2
Sementara itu, Simposium Bakat Muda Sezaman 2024 yang akan berlangsung di Hotel Grand Continental Langkawi dari 15 hingga 17 Nov, bakal mengupas hala tuju Bakat Muda Sezaman serta kepentingan memahami konsep seni di lokasi dan seni komuniti.
“Simposium bertujuan menjadi pendorong kepada seniman muda dalam menghasilkan karya seni yang relevan dan seiring dengan tema ditetapkan sebagai persediaan untuk Pertandingan Bakat Muda Sezaman yang akan datang,” demikian menurut kenyataan itu.
Simposium itu akan menghimpunkan pakar rujuk terdiri daripada kurator dan seniman seperti Azzad Diah Ahmad Zabidi, Wong Hoy Cheong, Moelyono, Dr Tisna Sanjaya serta Muhammad Hazrin Abdul Malek @ Moktar yang juga Pengarah Balai Seni Negara Langkawi.
-- BERNAMA