GAYA HIDUP

Nikmati Punten Enak, Hirup Kopi Tepi Sawah Di Seberang Perak 

24/11/2024 11:10 AM

Oleh Syamsiah Sahat

PERAK TENGAH, 24 Nov (Bernama) -- Keenakan punten - sejenis makanan tradisional Jawa  - yang dinikmati bersama-sama dengan secangkir kopi dan mata pula dijamu kehijauan sawah yang melaut, menjadi hidangan lengkap ditawarkan oleh Punten N Coffee, sebuah kafe di tengah-tengah jelapang padi Felcra Seberang Perak, dekat sini. 

Namun, di sebalik keringkasan hidangan ala nasi lemak kepal yang berlaukkan sambal hijau itu, terselit sejarah dan alasan makanan berkenaan dijadikan tarikan utama kafe yang dioperasikan oleh Pusat Benih Padi FELCRA Plantation Services Sdn Bhd tersebut.

"Kalau mengikut sejarah, punten ini dibawa oleh pesawah zaman dahulu sebagai bekalan makanan ketika bekerja di bendang, bersama-sama dengan kopi kampung. 

"Jadi, bagi mengimbau kembali suasana dan sejarah itu, kami menjadikan punten signature utama di kafe ini. Akan tetapi, kopi kampung digantikan dengan jenis kopi trend terkini yang diseduh khas oleh barista berkemahiran,” jelas Ketua Bahagian Pusat Benih Padi FELCRA Mohd Fikri Roslan ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

pic-2

Katanya, idea penubuhan Punten N Coffee yang berkonsep terbuka, dicetuskan oleh Pengerusi FELCRA Plantation Services Sdn Bhd Datuk Dr Mohd Zaidi  Md Zain bagi memanfaatkan lot kosong di situ agar tidak terbiar, selain memberikan nilai tambah kepada syarikat sebagai antara projek hiliran mereka.

"Alhamdulillah, sejak dibuka pada Mei lepas kafe  ini telah merekodkan jualan bernilai lebih RM200,000. 

"Selain punten dan kopi, kafe ini juga menyediakan pelbagai jenis donat, keropok lekor, makanan barat dan kudapan lain. Semuanya dihasilkan oleh peserta FELCRA dan penduduk setempat," katanya. 

Mohd Fikri berkata kafe itu menjadi tumpuan penduduk setempat dan juga pengunjung luar yang mengetahui kewujudan premis menerusi media sosial.

“Kafe ini berlatarbelakangkan pemandangan indah untuk dirakam sebagai kenangan oleh pengunjung,” katanya, menambah setakat ini klip video memaparkan keindahan pemandangan kafe di TikTok mencatatkan 1.6 juta tontonan. 

pic-3

"Kebanyakan pelanggan tahu tentang kafe ini melalui ulasan pengunjung yang pernah menjamu selera dan mengabadikan kenangan di sini," katanya. 

Mohd Fikri berkata mereka juga dalam perancangan menyediakan kemudahan pusat ilmu tentang padi dan beras yang berkonsepkan pelancongan pendidikan di kawasan kafe itu.

Katanya ini seiring dengan bisnes teras FELCRA Plantation Services Sdn Bhd yang meliputi perniagaan benih padi dan pengurusan estet benih padi, makmal kimia dan persampelan, pengeluaran input bio serta khidmat runding pertanian, seperti kerja-kerja kaji suai tanah dan khidmat dron serta pemetaan.

"Insya-Allah, dalam perancangan dengan peruntukan yang telah diluluskan, kita akan meluaskan kawasan ini dengan kemudahan pameran pendidikan dan aktiviti riadah lain. Dalam masa lima tahun akan datang, kami menyasarkan kawasan ini sebagai hab agro-edupelancongan tentang pertanian, terutama berkaitan tanaman padi," katanya. 

Kafe itu yang beroperasi dari 12 tengah hari hingga 7 malam, ditutup pada setiap Isnin.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy