SUBANG JAYA, 13 Nov (Bernama) -- Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor akan dipanggil esok bagi memberi penjelasan berhubung cadangan persatuan itu untuk menaikkan harga makanan sekurang-kurangnya lima peratus mulai tahun hadapan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya sudah mengeluarkan notis kepada persatuan berkenaan untuk menjelaskan sebab cadangan kenaikan harga itu mengikut Seksyen 21.2 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Oleh kerana persatuan ini baru sahaja membuat pengumuman untuk tahun hadapan, kita bertindak proaktif kerana kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) Perkongsian Data Harga antara KPDN bersama Mydin dan Redtick di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 300 pengusaha restoran India Muslim atau mamak di Johor mengadu kos operasi mereka terus meningkat dan pelaksanaan gaji minimum mulai tahun hadapan dijangka melonjakkan lagi kos operasi.
Justeru, pengusaha restoran mamak dijangka menaikkan harga makanan di premis mereka bermula lima peratus, mulai tahun hadapan.
Mengulas lanjut, Armizan memberi contoh sebelum ini melalui Ops Kesan 2.0, KPDN telah mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba mengambil kesempatan berikutan penyasaran subsidi diesel dan kenaikan SST.
“Ada pihak yang membuat pengumuman kenaikan harga tetapi setelah dipanggil dan diminta penjelasan didapati alasan tersebut tidak relevan.
“Contohnya, sektor pembinaan mendakwa kenaikan harga disebabkan oleh penyasaran subsidi diesel, sedangkan sektor ini sebenarnya tidak layak untuk menggunakan diesel bersubsidi,” katanya.
Justeru, beliau berkata pihaknya mengeluarkan notis dan mengambil tindakan di bawah Ops Kesan 2.0 untuk memastikan kenaikan harga hanya dibuat berdasarkan kos sebenar yang relevan.
-- BERNAMA