AM

Perhebat Muzium Di Malaysia Dengan Paparan Sejarah, Warisan - Anwar

13/11/2024 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Muzium di Malaysia boleh diperhebat dengan memperbanyakkan paparan sejarah serta warisan budaya negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri berkata lawatan beliau ke Grand Egyptian Museum di Giza semalam membuka peluang untuk mendalami keunikan dan kekayaan warisan budaya masyarakat Mesir terdahulu.

“Semalam sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Kaherah, saya dan delegasi Malaysia terima pelawaan Kerajaan Mesir untuk mengunjungi Grand Egyptian Museum di Giza. 

“Saya dimaklumkan bahawa muzium ini baru dibuka dan merupakan yang terbesar di dunia, menempatkan lebih daripada 100,000 artifak bersejarah Mesir,” katanya dalam catatan itu.

Anwar berkata kunjungan bersama delegasi Malaysia itu diadakan di hujung lawatan rasmi empat hari ke Mesir atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy