AM

Rang Undang-undang Perubahan Iklim Negara Dibentangkan Suku Pertama Tahun Depan - Nik Nazmi

14/11/2024 02:11 PM

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun depan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata ketika ini kementeriannya sedang menjalankan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta menghasilkan kertas konsultasi awam bagi mendapatkan maklum balas masyarakat sehingga 18 Nov ini.

"Untuk Malaysia berkembang maju dan mengekalkan daya tahan iklim, tadbir urus memainkan peranan penting dan kami kini sedang mengusahakan rang undang-undang perubahan iklim.

"Anda sebenarnya boleh pergi ke laman web kami dan melihat draf rang undang-undang itu, bagi mendapatkan pandangan daripada orang awam. Kami berharap dapat memperkenalkannya kepada sidang Parlimen menjelang suku pertama tahun depan," katanya semasa berucap pada pelancaran IOI Sustain Roadmap 2030 (ISR 2030), di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi (Pembangunan Hartanah) Teh Chin Guan dan Ketua Pegawai Operasi (Pelaburan Hartanah) Chris Chong Voon Fooi daripada IOI Property Group.

Rang undang-undang mengenai perubahan iklim bertujuan meningkatkan kelestarian alam sekitar sambil mewujudkan peluang baharu untuk sektor perniagaan iaitu membolehkan perniagaan mengakses pasaran yang memberi penekanan pada kelestarian.

Nik Nazmi berkata kerajaan serius menangani isu perubahan iklim dan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jun lepas, bersetuju mengesahkan aspirasi negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

"Ini ialah sasaran yang sangat tinggi, yang memerlukan banyak perubahan radikal daripada kerajaan, daripada sektor swasta serta masyarakat secara amnya.

"Tetapi kami percaya ini perlu jika kita ingin mempunyai peluang untuk menentang perubahan iklim.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah mengemukakan rancangan melibatkan bajet pembangunan RM140 juta kepada Kementerian Ekonomi, untuk membina bangunan Pusat Biodiversiti Malaysia (MBC) yang juga menempatkan Muzium Sejarah Alam Semula Jadi.

"Sejak 1998, kerajaan telah bercakap tentang mempunyai sebuah MBC untuk menguruskan koleksi saintifik dan pangkalan data biodiversiti; untuk menyelaraskan penyelidikan saintifik bagi antara muka sains dan dasar; penubuhan pusat latihan lanjutan, serta kita perlu mempunyai Muzium Sejarah Alam Semula Jadi sendiri untuk mempamerkan kekuatan kita.

“Sehubungan itu, sukacita saya maklumkan bahawa hasrat untuk menubuhkan MBC dan Muzium Sejarah Alam Semula Jadi semakin menjadi kenyataan,” katanya sambil menambah pada sesi libat urus (town hall) Julai lepas, lebih 30 universiti dan institusi penyelidikan tempatan menyatakan sokongan padu terhadap penubuhan MBC.

Beliau berkata kerajaan juga sedang merancang untuk mengadakan kerjasama swasta-awam berhubung pembinaan bangunan MBC.

"Supaya kita boleh memiliki sebuah pusat biodiversiti yang canggih, iaitu selaras dengan apa yang boleh kita pamerkan kepada dunia, dengan koleksi yang kita ada," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy