AM

Perlis Dijangka Jimat Lebih RM113,000 Setahun Melalui Pemasangan Panel Solar Fotovoltik

13/11/2024 08:33 PM

KANGAR, 13 Nov (Bernama) -- Perlis dijangka dapat berjimat RM113,610 setahun melalui inisiatif hijau, yang menyaksikan pemasangan panel solar fotovoltik tersambung grid Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan parkir sekitar Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis di sini.

Kerajaan negeri, TNB dan Syarikat Mestron Energy Sdn Bhd hari ini menandatangani dokumen Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) dalam merelisasikan inisiatif pemasangan panel solar fotovoltik itu.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata penjimatan itu amat penting kerana ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri kepada pentadbiran lebih cekap dengan penggunaan tenaga hijau yang lebih efisien.

“Parkir solar fotovoltik berbumbung yang akan dilaksanakan ini bukan sahaja menawarkan kemudahan dan manfaat kepada warga Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis tetapi turut menyumbang kepada penjanaan tenaga hijau yang menjimatkan kos operasi dan mengurangkan jejak karbon.

“Inisiatif ini adalah bukti komitmen kita dalam memastikan Perlis sentiasa mendukung kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya dalam ucapan sempena majlis menandatangani perjanjian itu di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Teknologi HIjau Perlis Megat Hashirat Hassan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy