EKONOMI

Anak Syarikat 30 Peratus Solarvest Beroperasi Sebagai Penjual Tenaga

12/11/2024 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Anak syarikat milik 30 peratus Solarvest Holdings Bhd, Selarong Pertama Energy Sdn Bhd (SPESB) telah menerima kelulusan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk beroperasi sebagai penjual tenaga,

SPESB ditauliahkan untuk menjual tenaga kepada pembeli tunggal dengan kapasiti arus ulang alik sebanyak 29.99 megawatt (MWac) dan kemudahan ini akan ditempatkan di Kulim, Kedah. 

Solarvest melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata SPESB telah menerima pemeteraian sambungan Perjanjian Penghantaran Dipertingkat Baharu (NEDA) yang ditandatangani dengan TNB pada 7 Nov 2024. 

“Lembaga percaya bahawa pemeteraian perjanjian sambungan NEDA adalah demi kepentingan terbaik Solarvest.

“Di bawah perjanjian sambungan NEDA, SPESB akan membina, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan penjanaan tenaga fotovoltan solar dengan kapasiti eksport yang diluluskan sebanyak 29.99 MWac,” kata pakar tenaga bersih itu.

Tenaga boleh baharu yang dihasilkan akan dijual secara maya melalui perjanjian tenaga hijau korporat berasingan kepada Micron Semiconductor Malaysia Sdn Bhd.

TNB telah bersetuju memberi SPESB akses kepada rangkaian tenaga pukalnya untuk bekalan tenaga yang dijana oleh kemudahan itu di bawah pelaksanaan garis panduan NEDA oleh Suruhanjaya Tenaga dan menandatangani perjanjian sambungan NEDA.

Kumpulan itu menjangkakan sumbangan pendapatan masa hadapan yang positif daripada kemudahan itu dari tarikh operasi komersialnya untuk tempoh 21 tahun.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy