EKONOMI

Bank Muamalat, CGC Lancar Skim 'Halal Portfolio Guarantee-i' Pertama Sokong PKS

13/11/2024 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd melancarkan Skim “Halal Portfolio Guarantee-i” pertama dengan kerjasama Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) untuk menyediakan jaringan keselamatan kewangan yang kukuh kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Bank Muamalat dalam satu kenyataan berkata inisiatif  itu akan menawarkan jaminan bagi kemudahan pembiayaan yang diberikan kepada PKS yang terlibat dalam perniagaan berkaitan halal, memastikan mereka mempunyai akses kepada dana yang diperlukan sambil mematuhi prinsip Islam.

Menurut bank itu dengan dana sebanyak RM70 juta, inisiatif tersebut diwujudkan secara strategik untuk menawarkan pembiayaan yang boleh diakses dan berpatutan kepada perniagaan dalam pelbagai sektor.

“Program itu akan memudahkan perniagaan mendapatkan modal yang amat diperlukan untuk modal kerja dan perbelanjaan modal, termasuk pensijilan halal dan pemerolehan aset.

"Syarat pembiayaan adalah lebih fleksibel, dengan tempoh maksimum sehingga tujuh tahun untuk PKS dan tiga tahun untuk PKS mikro," kata bank itu.

Presiden dan ketua pegawai eksekutifnya Khairul Kamarudin berkata pengenalan portfolio itu mencerminkan komitmen bank tersebut untuk memperkasakan perniagaan kecil dan mikro di Malaysia.

“Sebagai menyahut seruan kerajaan dan Bank Negara Malaysia untuk menyokong PKS, yang mewakili hampir 97 peratus daripada semua  perniagaan di Malaysia, Bank Muamalat telah menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi melalui pelbagai inisiatif.

“Ia termasuk penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan dan perkongsian dengan pemain industri utama untuk menyediakan sumber dan sokongan kepada PKS,” katanya.

Beliau berkata menerusi kerjasama itu, bank tersebut menyasar untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan dan menyediakan peluang kepada perniagaan untuk berkembang sambil mematuhi prinsip kewangan Islam.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy