AM

Tun Daim Banyak Bakti Kepada Negara - Fahmi

14/11/2024 08:21 AM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Allahyarham Tun Daim Zainuddin banyak berbakti kepada negara terutamanya ketika krisis kewangan pada 1990-an, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzli. 

Beliau berkata sebagai Menteri Kewangan ketika itu, Allahyarham berjaya membantu meletakkan semula Malaysia pada landasan yang baik.

“Waktu itu saya masih kecil dan tidak mengenali politik, memang kita tidak boleh nafikan pada 80-an dan waktu krisis kewangan Asia, Allahyarham sebagai Menteri Kewangan membantu kerajaan dan tugas-tugas yang beliau laksanakan membantu mengembalikan Malaysia pada landasan yang baik,” katanya selepas solat jenazah Allahyarham di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Daim memegang jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991 dan kali kedua pada 1999-2001.

Sementara itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata beliau terhutang budi dengan Allahyarham Daim yang pernah datang memberikan sokongan kepadanya semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa kepada negara. 

“Kehilangan Allahyarham bukan sahaja kehilangan kepada keluarga dan sahabat handai tetapi kepada negara. Kita doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman,” kata Ahli Parlimen Bera itu.

Terdahulu, kenderaan yang membawa jenazah Allahyarham tiba di Masjid Wilayah Persekutuan pada 3.43 petang dan jenazah disolatkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 1 pada 4.48 petang untuk pengebumian.

Turut hadir bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Ahli Parlimen Larut dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Allahyarham Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, meninggal dunia pada 8.21 pagi ini Hospital Assunta, Petaling Jaya, ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy