MANILA, 13 Nov (Bernama-Xinhua) -- Bank Dunia meluluskan pinjaman sebanyak US$750 juta pada Rabu untuk mempercepatkan transformasi digital di Filipina, lapor Xinhua.
Pinjaman Polisi Pembangunan Transformasi Digital Kedua menyokong usaha Filipina untuk mentransformasi sektor digital negara itu melalui peningkatan kesalinghubungan, digitalisasi, ekosistem inovasi dinamik dan perkongsian sektor swasta, menurut institusi kewangan itu dalam kenyataan akhbarnya.
Secara khusus, pinjaman ini akan membantu usaha negara itu untuk mengurangkan halangan terhadap kemasukan dan pelaburan dalam sektor jalur lebar, menggalakkan persaingan dan meningkatkan kesalinghubungan.
Pemberi pinjaman multilateral itu menyatakan bahawa pendigitalan yang lebih meluas adalah penting bagi ekonomi seperti Filipina, yang mempunyai populasi besar yang tersebar di banyak pulau. Tambahnya, kesalinghubungan digital dan penyertaan rakyat Filipina dalam ekonomi digital adalah penting untuk merapatkan jurang geografi dan sosioekonomi.
"Pendigitalan adalah satu kuasa transformasi yang dapat memacu pertumbuhan yang dipacu oleh produktiviti dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kritikal seperti pengangkutan, penjagaan kesihatan, pendidikan, tenaga, dan pertanian di Filipina," kata Zafer Mustafaoglu, pengarah negara Bank Dunia bagi Filipina, Malaysia dan Brunei.
"Melalui pemanfaatan platform digital, negara ini dapat merapatkan jurang dalam penyampaian perkhidmatan, memastikan individu dan perusahaan mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan yang mampu milik serta penyelesaian digital yang memenuhi keperluan mereka dan membina daya tahan terhadap krisis dan kejutan pada masa hadapan," kata Mustafaoglu.
-- BERNAMA-XINHUA