AM

MIROS Keluar Tiga Garis Panduan Pengurusan Keselamatan EV

14/11/2024 02:35 PM

MELAKA, 14 Nov (Bernama) -- Tiga garis panduan keselamatan bagi kenderaan elektrik (EV) yang diperkenalkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bakal meningkatkan kecekapan pengurusan keselamatan kenderaan tersebut.  

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata garis panduan itu ialah Panduan Keselamatan untuk Pengguna Jalan Raya dan Orang Ramai Berkenaan Pengurusan Insiden EV (MyEVIM), Protokol Penilaian Voltan Tinggi EV dan Garis Panduan Keselamatan Makmal Ujian Pelanggaran EV.  

"Walaupun EV di Malaysia (penggunaan) masih awal dan belum mencapai satu skala yang besar, tetapi kenderaan ini semakin popular dan setakat ini, kita telah pun mempunyai puluhan ribu EV di jalanan, jadi garis panduan EV ini satu usaha pertama dan sangat penting. 

"Ini kerana ia merupakan satu pendekatan yang mudah untuk difahami orang awam khususnya untuk mengambil langkah awal sekiranya terlibat dalam kemalangan atau kerja menyelamat kerana kita takut berlakunya letupan, renjatan elektrik atau terbakar apabila berlakunya insiden tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Garis Panduan Keselamatan EV di MIROS PC3 Tiang Dua, Ayer Molek di sini hari ini. 

Beliau berkata garis panduan itu bukan sahaja terpakai di Malaysia tetapi akan turut dikongsi dengan rakan negara ASEAN memandangkan MIROS merupakan sebuah pusat pengujian kenderaan yang cemerlang di rantau ini.

"Kita berharap pihak berkuasa keselamatan jalan raya di rantau ini sama-sama boleh mengaplikasikan garis panduan berkenaan bagi memberi manfaat kepada masyarakat. 

"Memandangkan garis panduan ini adalah bersifat terbuka, masyarakat boleh mengakses garis panduan ini yang dipaparkan secara infografik dengan mengimbas kod QR di laman web MIROS, kementerian dan Jabatan Pengangkutan Jalan sendiri," katanya. 

Dalam pada itu Loke berkata kementeriannya akan terus bekerjasama dengan badan antarabangsa termasuk pembuat kereta bagi meningkatkan tahap keselamatan EV di rantau ini. 

"Kita sedar semua negara seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam masing-masing giat membangunkan EV ini namun kita mengalu-alukan kerjasama ini terutama melibatkan aspek keselamatan malah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sendiri berusaha keras untuk menarik pelaburan dalam industri pemasangan EV di Malaysia. 

"Dalam masa yang sama, kita sendiri perlu bekerja keras untuk mengekalkan kecemerlangan sebagai pusat ujian serantau dan ini perlu ditunjukkan menerusi hasil, komitmen dan kredibiliti," katanya. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy