AM

'Aplikasi Friends Of Sabah' Bantu Beri Bantuan Pantas Kepada Pelancong - ESSCOM

19/11/2024 09:20 PM

LAHAD DATU, 19 Nov (Bernama) -- Aplikasi Friends of Sabah (FoS) yang bakal dilancarkan mampu membantu dalam memberi bantuan pantas terutama berdepan situasi kecemasan kepada pelancong yang berkunjung ke negeri ini, khususnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSZONE).

Komander Eastern Security Sabah Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos berkata FoS kini memulakan fasa percubaan dalam tempoh enam hingga tujuh bulan bagi menambah baik aplikasi itu yang dibangunkan bersama kerajaan Sabah dan IT Collection Sdn Bhd sebelum ia dilancarkan.

Beliau berkata melalui aplikasi itu maklumat keberadaan pelancong di ESSCOM dapat dipantau yang seterusnya menjamin keselamatan pelancong. 

“Aplikasi ini bukan bertujuan mengintip pergerakan pelancong tetapi lebih kepada memudahkan komunikasi antara pelancong dan pasukan keselamatan sekiranya berlaku perkara tidak diingini serta dapat memberikan bantuan segera apabila memerlukan.

“Melalui aplikasi ini juga turut disediakan nombor telefon kecemasan seperti balai polis, balai bomba dan hospital terdekat sekiranya pengguna mempunyai kecemasan lain,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Prapelancaran FoS di sini hari ini.

Victor berkata beliau akan membentangkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Negeri Sabah bagi menilai keperluan mewajibkan pelancong untuk memuat turun aplikasi ini sepanjang mereka berada di Sabah.

"Kita berharap agar dengan adanya aplikasi ini pelancong yang berkunjung ke pantai timur Sabah dapat menikmati keindahan flora dan fauna serta merasai kemesraan orang Sabah dengan hati yang tenang,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy