EKONOMI

Khazanah Kekal Komited Labur Dalam Syarikat Pemula - Amir Hamzah

14/11/2024 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd akan terus melabur dalam syarikat pemula walaupun mengalami kerugian dalam syarikat perniagaan fesyen dalam talian, FashionValet Sdn Bhd, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata visi pelaburan seumpama itu akan diteruskan kerana aspek pelaburan modal teroka dalam syarikat pemula merupakan mandat bagi meneruskan usaha menyokong ekosistem sekali gus menambah baik mekanisme kawalan.

Selain itu, katanya, aspek itu juga membantu mencipta peluang pekerjaan, merangsang ekonomi dan memperkenalkan teknologi maju daripada pasaran luar ke Malaysia.

“Isu FashionValet tidak akan menjejaskan usaha Khazanah untuk melabur dalam syarikat pemula.

“Visi itu masih kekal dalam mandat Khazanah dan ia akan terus berusaha menyokong ekosistem syarikat pemula dan modal teroka sambil menambah baik mekanisme kawalan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai sama ada Khazanah melaksanakan strategi berbeza dalam membuat pelaburan modal teroka.

Beliau berkata matlamat pelaburan dalam modal teroka adalah untuk pertumbuhan walaupun risikonya tinggi dan sekiranya berjaya berpotensi menjana keuntungan yang tinggi.

“Menyedari risiko dan ganjaran pelaburan dalam modal teroka dan ekuiti persendirian, kedua-dua pihak iaitu Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd mendapati pelaburan ini harus diurus dengan menilai prestasi berdasarkan portfolio pelaburan secara keseluruhan dan bukan pelaburan sendiri,” katanya.

Pada 2018, Khazanah dan PNB telah melabur masing-masing sebanyak RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti masing-masing dalam FashionValet.

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 28 Okt, memaklumkan kedua-dua syarikat itu menerima RM3.1 juta hasil daripada penjualan saham dalam FashionValet.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy