DUNIA

Korea Selatan Mungkin Tingkatkan Sokongan Kepada Ukraine Berdasarkan Perikatan Korea Utara-Rusia

14/11/2024 03:29 PM

SEOUL, 14 Nov (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol berkata negaranya mungkin mempertimbangkan untuk meningkatkan sokongan kepada Ukraine, bergantung kepada tahap penglibatan Korea Utara dalam perang Rusia-Ukraine, lapor agensi berita Yonhap, memetik satu wawancara yang diterbitkan pada Khamis.

Dalam wawancara bertulis dengan agensi berita Sepanyol, EFE, Yoon memberikan kenyataan itu menjelang lawatannya ke Amerika Selatan untuk Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Peru dan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Brazil.

Seoul dan Washington mendakwa bahawa tentera Korea Utara, yang ditempatkan di kawasan barisan hadapan di Kursk, Rusia kini terlibat dalam pertempuran menentang tentera Ukraine.

"Jika kedua-dua pihak tidak menghentikan tindakan ketenteraan berbahaya mereka, kami bersedia melaksanakan langkah-langkah berkesan yang sesuai, termasuk memperkukuh sokongan kepada Ukraine bersama dengan sekutu dan negara-negara sehaluan," kata Yoon dalam wawancara itu.

Beliau juga memberi amaran terhadap pemindahan teknologi ketenteraan sensitif dari Moscow ke Pyongyang sebagai pertukaran bagi penempatan tentera Korea Utara, dan menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan tentera Korea Utara memperoleh pengalaman peperangan moden di Ukraine.

Yoon menyeru Pyongyang dan Moscow agar menghentikan kerjasama ketenteraan mereka yang "tidak sah" dan menarik balik tentera Korea Utara dari wilayah Rusia, sambil menegaskan bahawa Korea Selatan terus mengekalkan saluran diplomatik dengan Rusia.

-- BERNAMA-YONHAP


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy