BINH DINH (Vietnam), 7 Nov (Bernama-VNA) -- Kedua-dua juruterbang yang terlibat dalam nahas pesawat tentera semasa latihan penerbangan di komun Tay Xuan, daerah Tay Son, Binh Dinh pada 6 Nov ditemukan dalam keadaan selamat pada hari yang sama.
Kedua-dua juruterbang dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan diselamatkan dari kawasan pergunungan, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Pasukan mencari dan menyelamat menemukan Leftenan Kolonel Kanan Nguyen Hong Quan, ketua jurulatih penerbangan Rejimen Tentera Udara 940, pada 8.05 malam waktu tempatan.
Kemudian, pada 10.30 malam, Kolonel Nguyen Van Son, Komander Rejimen Tentera Udara 940, dijumpai kira-kira satu kilometer dari lokasi Quan.
Terdahulu, sekitar 4.30 petang, Quan menghubungi unitnya melalui telefon bimbit, memberitahu bahawa dia berada di puncak gunung, namun isyarat yang lemah menyukarkan penentuan lokasi tepat.
Pada sekitar 6.45 petang, pasukan mencari dan menyelamat menerima maklumat dari telefon bimbit Son.
Pesawat tentera Yak-130 berlepas dari Lapangan Terbang Phu Cat pada 9.55 pagi untuk sesi latihan jarak jauh.
Kemalangan berlaku semasa pendaratan apabila gear pendaratan gagal berfungsi dan langkah kecemasan tidak berjaya.
Kedua-dua juruterbang berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan payung terjun pada 10.51 pagi di daerah Tay Son.
-- BERNAMA-VNA