EKONOMI

MIDF Amanah Unjur Pertumbuhan KDNK Suku Ketiga Malaysia Pada 5.3 Peratus

14/11/2024 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2024 dijangka berkembang pada 5.3 peratus tahun ke tahun dipacu oleh pertumbuhan berterusan penggunaan domestik, kata  MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu berkata perbelanjaan pengguna terus berkembang walaupun peningkatan pertumbuhan perdagangan runcit menjadi sederhana kepada 5.9 peratus pada suku ketiga berbanding 7.4 peratus pada suku kedua.

Ini seiring dengan pertumbuhan sederhana sektor perkhidmatan pada 5.1 peratus berbanding 5.9 peratus pada suku kedua, berdasarkan unjuran awal KDNK, katanya.

"Dalam erti kata lain, pertumbuhan KDNK yang teguh tetapi lebih sederhana pada suku ketiga mencerminkan pertumbuhan perbelanjaan domestik yang sederhana. Secara keseluruhan, pertumbuhan yang mampan itu disokong oleh peningkatan guna tenaga, peningkatan pendapatan dan pemulihan dalam perbelanjaan pelancong," katanya dalam satu laporan.

MIDF Amanah berkata kemungkinan peningkatan juga boleh berlaku berikutan pemulihan yang lebih teguh dalam perkhidmatan, eksport dan kesan positif inflasi yang stabil.

"Pertumbuhan KDNK juga boleh menjadi lebih lemah daripada yang dijangkakan, berpotensi diseret ke bawah oleh perbelanjaan domestik yang sederhana dan pengeluaran perlombongan yang lebih lemah.

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan terus didorong oleh perbelanjaan pengguna dan perniagaan yang semakin meningkat serta pertumbuhan berterusan dalam permintaan luar," katanya.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu juga berhati-hati terhadap beberapa risiko negatif terhadap prospek pertumbuhan Malaysia, terutamanya dari segi luaran seperti peningkatan semula inflasi global, pertumbuhan dan permintaan yang lebih lemah di China dan Amerika Syarikat serta peningkatan berterusan dalam ketegangan geopolitik dan perdagangan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy