DUNIA

Dunia Islam Ingin Peranan Global Lebih Kuat - Pengerusi ISIS

15/11/2024 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh baru-baru ini menekankan komitmen yang diperbaharui dalam dunia Islam untuk menangani cabaran global yang mendesak, kata Pengerusi ISIS Malaysia Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah, yang berpendapat bahawa perpaduan ini boleh memperkukuh kedudukan blok Islam sebagai kuasa besar di peringkat antarabangsa.

Dalam ruangan terbaharunya yang dikongsi dengan Bernama, Faiz berkata bahawa sidang kemuncak yang menghimpunkan pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Negara-Negara Arab itu menzahirkan “kecaman tegas terhadap pencerobohan Israel” serta mencerminkan keazaman bersama untuk menangani isu seperti ketidakstabilan ekonomi dan perubahan iklim.

“Perhimpunan ini lebih daripada sekadar simbol perpaduan.

“Ia menyerlahkan keazaman yang semakin meningkat dalam dunia Islam untuk bertindak secara kolektif terhadap cabaran global, dari konflik hingga perubahan iklim, dengan suara yang bersatu dan tegas,” katanya.

Faiz turut menyuarakan keyakinan tentang potensi suara Muslim yang lebih kuat di pentas global.

“Buat kali pertama sejak beberapa ketika, nampaknya dunia Islam berkemungkinan memberikan suara kolektif yang tegas demi keadilan dan kemajuan,” katanya.

Sidang kemuncak pada 11 Nov itu juga menjadi titik perubahan dalam hubungan antara negara-negara Islam, dengan pemulihan hubungan antara negara-negara Teluk dan Iran serta meningkatkan hubungan antara Mesir dan Turkiye.

Faiz menyifatkan perkembangan ini sebagai “tanda-tanda positif bahawa isu-isu lama boleh diselesaikan melalui diplomasi, kesabaran dan visi bersama untuk hidup bersama secara harmoni.”

“Perasaan saling curiga yang berdekad-dekad tidak boleh hilang dalam sekelip mata, tetapi sidang kemuncak ini mendedahkan lembaran baharu, dengan negara-negara yang pernah berpecah kerana perselisihan sejarah kini mula melihat manfaat perpaduan dan kerjasama,” katanya.

Dalam perkembangan serupa, Faiz memuji peranan Malaysia yang semakin meluas dalam dunia Islam di bawah kepimpinan Anwar.

“Malaysia, walaupun terletak di pinggiran geografi, kini dilihat sebagai suara utama di Selatan Global, memperjuangkan kestabilan politik di Timur Tengah dan memupuk kerjasama,” katanya.

Malaysia yang bakal memegang jawatan selaku Pengerusi ASEAN pada 2025 mempunyai peluang besar untuk memperkukuh kerjasama serantau, termasuk menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China bagi menggalakkan perdagangan dan memerangi ekstremisme, tegasnya.

Menyoroti perbincangan Anwar dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, Faiz menyebut komitmen pemimpin Saudi itu untuk menghadiri sidang tiga hala tahun depan.

“Ini mencerminkan keazaman untuk melangkaui perbincangan semata-mata dan mencapai hasil yang nyata,” katanya.

Faiz turut mengulas ucapan Anwar di Universiti Al-Azhar Mesir, dan beliau menegaskan keseimbangan antara ilmu dan nilai moral yang disifatkannya penting bagi mengelakkan ancaman radikalisme dan sikap tidak bertoleransi.

Dengan kemajuan sektor teknologi dan data, Faiz berkata Malaysia boleh menjadi jambatan untuk pertumbuhan teknologi dalam negara majoriti Muslim.

“Peranan kita dalam sektor kritikal ini membolehkan kita berkongsi kepakaran moden dengan negara Islam lain dan memastikan penggunaan teknologi yang bertanggungjawab dan beretika,” tulisnya, sambil menyatakan bahawa pendekatan ini boleh menangani ketidaksamaan serantau tanpa menjadikan keadaan bertambah buruk.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy