AM

Program Penyeragaman Harga: KPDN Buka 1,770 Pusat Penjualan Seluruh Negara

15/11/2024 03:27 PM

DUNGUN, 15 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mewujudkan 1,770 pusat penjualan (Point of Sale) menerusi Program Penyeragaman Harga (PPH) di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh berkata program itu diupayakan menerusi pemberian subsidi kerajaan kepada syarikat pengangkut untuk mengedar barang perlu, LPG dan Community Drumming ke kawasan pedalaman yang berjarak lebih 15 kilometer dari pusat bekalan.

"Tujuh jenis barangan yang terlibat dalam program ini ialah beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak paket, gas petroleum cecair LPG (tong gas memasak), petrol RON95 dan diesel.

"Bagi tahun ini, kerajaan persekutuan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM225 juta untuk pelaksanaan program ini melibatkan enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke program Kita Gempur: Menyantuni Pelaksanaan Program Community Drumming di Kuala Jengai, di sini hari ini. 

Fuziah berkata program tersebut merupakan antara inisiatif kerajaan untuk mengawal harga barang terutamanya di kawasan pedalaman yang sebahagiannya mengalami kenaikan harga apabila barangan tersebut dibekal ke kawasan mereka oleh pihak tertentu. 

"Program ini juga memudahkan pengguna untuk mendapatkan barang atau isi minyak kerana macam di kampung ini misalnya mereka perlu ke pekan Bukit Besi yang sejauh 28 kilometer sekiranya ingin mengisi minyak," katanya. 

Beliau berkata di Terengganu, selain Kampung Kuala Jengai, pusat penjualan turut melibatkan 10 kawasan lain di zon Pulau Redang di Kuala Nerus dan Pulau Perhentian di Besut dengan peruntukan berjumlah RM3.16 juta yang memberi manfaat kepada 13,100 penduduk.

Pada masa sama, Fuziah berkata pihaknya akan memanfaatkan sebaiknya RM300 juta yang diperuntukkan kepada program Payung Rahmah dalam Belanjawan 2025 bagi menggerakkan lebih banyak Jualan Rahmah untuk mengekang masalah kekurangan bekalan terutamanya sewaktu musim banjir.

"Selain itu, kita juga berikan kelulusan kepada Pemborong Terpilih Daerah (DDW) dan Peruncit Terpilih Daerah (DDR) untuk menyimpan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had simpanan lesen sebagai persediaan kecemasan dalam menghadapi musim banjir. Bekalan tersebut telah digerakkan ke DDW dan DDR terlibat," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy