SUKAN

Piala Skuasy Malaysia: Sivasangari Kekal Rekod Tanpa Kalah Kepada Aifa

15/11/2024 05:04 PM

PETALING JAYA, 15 Nov(Bernama) -- Bintang skuasy wanita negara S Sivasangari terus membuktikan kehebatannya apabila mengatasi rakan senegara Aifa Azman pada suku akhir Piala Skuasy Malaysia 2024 di gelanggang kaca di pusat beli-belah The Curve, Damansara di sini hari ini.

Sivasangari yang bermula agak gugup namun berjaya menamatkan set pertama dengan 11-9 sebelum terus mendominasi dua set berikutnya 11-3, 11-6 untuk mengesahkan tempat di separuh akhir kejohanan peringkat gangsa dalam Jelajah Skuasy Persatuan Skuasy Profesional (PSA) itu dan menambah rekod kemenangan 4-0 ke atas Aifa.

Pemain kesembilan dunia itu akan membuat perhitungan memburu slot final dengan Georgia Adderley dari Scotland yang terdahulu menewaskan Aifa Azman 11-4, 11-7, 11-13, 11-7 dalam satu lagi saingan suku akhir.

Sivasangari, 25, mengakui berasa sedikit tertekan untuk beraksi selaku pilihan utama menyebabkan aksinya agak goyah di awal permainan.

“Saya mahu menang untuk membuktikan bahawa saya masih pemain nombor satu negara. Dia (Aifa) adalah pemain yang hebat dan kita semua tahu terdapat beberapa pemain Malaysia yang sangat bagus di luar negara.

“Saya gembira dapat menang kali ini,” katanya kepada pemberita.

Mengenai pertemuan dengan Adderley, pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu menjangkakan perlawanan sukar menantinya dengan pertarungan panjang esok.

“Dia adalah lawan yang sukar, banyak berlari dan berjaya memungut banyak pukulan. Saya rasa ia akan menjadi perlawanan yang berbeza berbanding hari ini. Diharapkan saya dapat merancang strategi lebih baik dan bermain sebaik mungkin,” katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pemain hanya bertemu sekali dengan Sivasangari memenangi perlawanan 11-9, 6-11, 11-9 pada suku akhir Terbuka China, baru-baru ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy