Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Bersiar-siar di bawah panas terik matahari dengan memakai kemeja lengan panjang, baju panas (sweater) yang diikat di atas bahu, digayakan bersama seluar panjang slack dan kasut kulit.
Nampak janggal dan tidak selesa, namun itu antara gaya yang digelar sebagai 'Old Money' yang menjadi trend terutama buat golongan muda sehingga ada yang mewujudkan komuniti serta membuat rakaman video untuk dijadikan kandungan media sosial.
Berkongsi pandangan berkenaan fenomena yang semakin tular di media sosial itu, pereka fesyen terkemuka, Bon Zainal berkata, istilah 'Old Money' bukan sekadar merujuk kepada gaya pakaian, tetapi lebih kepada gaya hidup, tatasusila serta cara pergaulan golongan elit yang kaya raya, terutamanya di negara barat.
"Definisi sebenar Old Money ini merujuk kepada golongan yang memiliki kekayaan turun-temurun di barat, jadi golongan ini mempunyai gaya berpakaian tersendiri yang telah dididik sejak kecil.
"Old Money bukan hanya tentang pakaian. Ia adalah tentang budaya dan cara hidup. Pakaian yang dikenakan oleh golongan ini hanyalah sebahagian kecil iaitu 20 peratus sahaja daripada keseluruhan konsep mereka, yang lebih penting adalah tatasusila, adab, dan cara mereka bergaul," katanya kepada Bernama.
pic-2
Menurut Bon, meskipun tidak salah untuk menggayakan fesyen yang diinspirasikan oleh golongan 'Old Money', namun perlulah memahami asal usul dan intipati gaya tersebut.
"Contohnya, gaya yang sering dilihat dengan sweater dan pakaian musim luruh adalah sangat sesuai di negara-negara barat yang mengalami cuaca sejuk. Namun, di Malaysia yang panas, menggayakan pakaian tersebut tanpa pengetahuan yang mendalam tentang konteksnya hanya akan menyebabkan penampilan itu kelihatan janggal.
"Lumrah untuk kita suka melihat dan meniru gaya yang nampak cantik di mata kita, tetapi gaya itu bukan sekadar tentang pakaian, tetapi juga cara kita menjaga diri, berdandan dan cara kita berinteraksi dengan orang lain," jelasnya.
pic-3
Bon juga menegaskan bahawa semakin ramai yang cuba meniru gaya 'Old Money' di media sosial, tetapi tidak memahami sejarah dan maksud sebenar di sebalik istilah tersebut selain ada juga yang cenderung bergaya dengan jenama terkenal tanpa mampu membeli barang asli dan memilih produk tiruan sebagai alternatif.
"Janganlah hanya sekadar mengejar jenama atau fesyen tanpa tahu apa yang terkandung di dalamnya. Bila kita hanya nak bergaya tanpa mengetahui sejarahnya, ia akan kelihatan lucu dan mungkin menjadi bahan ketawa orang lain.
"Bergaya itu boleh, tetapi biarlah sesuai dengan kemampuan dan jangan terlampau terikut-ikut dengan sesuatu yang tidak mampu kita miliki. Orang boleh tahu tahap kemampuan kita apabila kita berusaha keras untuk menunjukkan sesuatu yang bukan milik kita, " katanya
Selain itu, Bon juga mengingatkan orang ramai tentang pentingnya menjaga identiti sendiri dalam bergaya dan sepatutnya berbangga dengan pakaian warisan seperti batik dan songket dengan mengikut kesesuaian majlis serta tempat yang dihadiri, termasuk pemilihan warna dan fabrik.
Bagi pereka fesyen Hatta Dolmat pula, fesyen ‘Old Money’ lebih kepada keselesaan, kualiti, dan gaya hidup sederhana yang mana golongan yang mengamalkan gaya berkenaan cenderung memilih pakaian tanpa motif menonjol, dengan warna pastel seperti biru lembut dan kuning cair yang mudah disuai padan.
pic-4
"Golongan ini mementingkan kesederhanaan dengan potongan pakaian yang klasik dan minimal. Jadi bukannya sesuatu yang bersifat Y2K (tahun 2000), oversize dan sebagainya. Mereka lebih memilih pakaian yang boleh dipakai dalam kehidupan harian tanpa berlebihan, " jelas Hatta.
Beliau memberi contoh, kemeja putih berkualiti tinggi, seluar dengan potongan tepat, serta sut yang ditempah untuk majlis tertentu sebagai simbol fesyen ‘Old Money’, selain ketelitian dalam pemilihan bahan serta ketukangan.
"Contoh terbaik adalah pakaian dari jenama seperti Ralph Lauren yang menggunakan sweater yang dikait dengan sulaman polo yang minimal dan warna pastel. Fesyen ini mengutamakan perincian dan kualiti," katanya yang juga mencadangkan pemilihan aksesori yang tepat seperti kaca mata potongan wayfarer, kasut oxford, serta jam dan beg tangan bersesuian.
Walaupun trend ini popular di media sosial, Hatta mengingatkan bahawa fesyen ‘Old Money’ sebenarnya bukan tentang mengejar jenama atau populariti, tetapi lebih kepada gaya yang tidak terpengaruh oleh perubahan zaman.
“ Golongan Old Money yang tidak menunjukkan jenama atau status, sebaliknya lebih mementingkan kesederhanaan dan kualiti dalam gaya hidup mereka,” ujarnya.
Hatta berpandangan dalam konteks di negara ini, fesyen ‘Old Money’ yang sebenar boleh diterjemahkan melalui warisan seperti songket dan tenun yang diangkat sebagai simbol kemewahan.
“Tiada salah dalam berfesyen. Ia adalah hak individu dan tiada juga istilah janggal, ikut selera masing-masing nak berfesyen cuma kenalah tahu kesesuaian masa dan tempat .
“Misalnya takkan nak pakai suit di tengah panas. Kalau betul nak ubah gaya, mungkin boleh amalkan konsep dan prinsip macam kembali kepada asas, pakai baju ditempah dan pentingkan kualiti, bukan sekadar trend," katanya.
-- BERNAMA