GAYA HIDUP

Zachrin Jaafars Peraga Fesyen Dari Slim River Ke Washington

18/11/2024 12:19 PM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Pernah hampir berputus asa dalam mengejar impian untuk bergelar pereka fesyen dek perlu menjaga ibu bapa di kampung, pemilik jenama Zachrin Jaafars bersyukur kerana kecekalannya menyaksikan karya beliau “terbang” ke pentas antarabangsa, dipamerkan di Washington D.C, Amerika Syarikat (AS). 

Beroperasi di Slim River, Perak, pereka fesyen Sazrin Jaafar tidak menyangka pertunjukan debut beliau di Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) tahun lepas menarik perhatian Kedutaan Malaysia di AS, yang mempelawanya menyertai Pameran Hari Songket Malaysia anjuran kedutaan itu.

“Semasa hendak menyertai KLFW, perkara paling mencabar ialah bagaimana saya nak bawa Zachrin Jaafars yang macam kampung (jenama tidak dikenali) ini ke pentas berprestij itu, tetapi kami berjaya dan terima pujian daripada orang ramai. Orang mula nampak Zachrin Jaafars sebagai satu daripada jenama pereka fesyen, bukan buat baju kahwin saja. Dulu orang kenal kami sebagai jenama yang buat baju kahwin, (namun) kini lebih versatil.

“Seminggu kemudian (selepas KLFW) saya dapat panggilan telefon daripada kedutaan (Malaysia) di AS, jemput kita sertai satu acara (berkaitan) UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan) di sana… syarat mereka ialah generasi baharu yang membuat pembaharuan budaya Melayu dan rekaan saya ada ciri-ciri itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.    

pic-2

Bangga kerana mampu mengangkat martabat kain songket di mata masyarakat luar, Sazrin berkata busana rekaannya disuntik dengan ciri-ciri moden dengan memperlihatkan songket bukan setakat sesuai untuk dibuat baju kurung tetapi juga skirt dan kasut. 

“Pertunjukan fesyen itu bertemakan ‘UNESCO Intangible Cultural Heritage: The Magnificent Golden Threads of Songket Fashion Show’, jadi saya agak gementar kerana kain songket ini mahal dan tak semua orang mampu buat.

“Namun, disebabkan saya pernah dedahkan di KLFW bahawa kami komuniti Felda, agensi itu ambil peluang menaja kami (menggunakan kain songket keluaran Pusat Tenun Pahang Felda),” kongsinya.

Menurut beliau, sehelai baju daripada kain songket mengambil masa lebih 150 jam untuk disiapkan kerana melibatkan sulaman benang emas, jahitan manik dan pelbagai lagi.

pic-3 

 Mengimbas semula awal pembabitanya dalam bidang glamor itu, lulusan Ijazah Sarjana Muda Rekaan Fesyen Universiti Teknologi Mara tersebut berkata beliau bermula dengan mengambil tempahan menjahit baju di sekitar Slim River.

“Ibu bapa tak berapa faham bidang saya kerana mereka ingat saya hanya boleh buka kedai jahit sahaja (dengan ijazah yang saya peroleh). Mereka fikir saya hanya duduk di kampung dan ambil tempahan baju kurung, sedangkan saya dilatih untuk menjadi pereka fesyen,”  katanya. 

Menurutnya, selepas beberapa tahun melakukan rutin mengambil tempahan baju kurung, tercetus idea untuk menghasilkan koleksi baju pengantin menggunakan jenama Zachrin Jaafars.

pic-4

Anak peneroka Felda Gunung Besout 1, Sungkai, Perak itu berkata di peringkat awal beliau memperkenalkan jenama tersebut, pasarannya hanyalah masyarakat sekitar dan dijual pada harga yang rendah mengikut kualiti pakaian.

Namun tuah menyebelahinya apabila beliau tular di media sosial selepas usahanya membantu seorang lelaki kurang upaya dirakam dan disebar, sehinggakan beliau diundang sebagai tetamu sebuah program televisyen yang popular ketika itu.

Susulan itu, koleksi rekaannya turut menerima tempias dan mengangkat jenama beliau di mata masyarakat, sekali gus mendorongnya meningkatkan kualiti rekaan agar setanding dengan jenama terkenal.

pic-5 

Kini, anak bongsu daripada lima beradik ini turut menerima tempahan dari luar negara seperti Singapura, Eropah dan AS.

“Walaupun kami berpangkalan di Slim River, kualiti dan kraf yang kami hasilkan setanding pereka (terkenal) di Kuala Lumpur. Kami sedar, pesaing kami bukan lagi orang sekeliling tetapi pereka-pereka lain, justeru kami kena gandakan usaha beratus kali agar perkhidmatan dan produk kami setanding mereka,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy