JENAYAH & MAHKAMAH

JKNPP Rampas Ubat Tradisional Dan Kosmetik Bernilai RM10.1 Juta

15/11/2024 06:07 PM

GEORGE TOWN, 15 Nov (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) merampas 70,000 kotak produk tradisional tidak berdaftar dan 70 kotak kosmetik tidak bernotifikasi yang kesemuanya bernilai RM10.1 juta dalam Ops Joint di Jelutong pada 4 Nov lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata JKNPP melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Pulau Pinang dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan operasi khas ke atas dua buah premis di Jelutong.

"Hasil maklumat awan dan risikan yang dijalankan, pihak kami mengambil tindakan ke atas penjualan produk tradisional tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi secara dalam talian dengan menyerbu dua buah premis itu.

"Hasil pemeriksaan di situ, kami merampas sebanyak 70,000 kotak produk tradisional tidak berdaftar dan lebih 70 kotak kosmetik tidak bernotifikasi dengan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM10.1 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan operasi yang dijalankan itu membuktikan bahawa pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa mengambil serius terhadap aduan awam bagi membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi termasuk penjualan secara dalam talian yang telah menjadi trend masa kini.

Fazilah berkata para pengguna dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan iklan atau testimoni di laman sesawang, platform media sosial serta aplikasi e-dagang dengan tuntutan perubatan yang tidak munasabah.

Tambah beliau, penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) dan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

"Orang ramai boleh menyemak status pendaftaran ubat atau notifikasi kosmetik dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status secara percuma melalui Play Store, App Store dan Huawei App Gallery," katanya.

Beliau berkata KKM sentiasa komited dalam memerangi isu pembekalan dan penjualan ubat-ubatan yang menyalahi undang-undang di Malaysia.

Fazilah seterusnya berkata Kempen “Tolak Ubat Tidak Sah” dengan nama singkatan rasminya “TOBaTS” merupakan satu inisiatif baharu Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM yang telah diperkenalkan pada tahun ini dalam usaha memerangi isu pembekalan dan penjualan ubat-ubatan yang menyalahi undang-undang di Malaysia.

"Orang ramai juga digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan mana-mana ubat atau kosmetik yang meragukan melalui laman sesawang https://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat https://moh.spab.gov.my atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk yang menyalahi undang-undang di pasaran," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy