Selepas hampir dua dekad menguruskan bayi baru lahir termasuk yang pramatang, tangisan golongan si kecil ini tidak lagi mendatangkan tekanan kepada Siew Jeang Hong, 39.
Sebaliknya kata Ketua Jururawat Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) itu, esakan dan rengekan mereka kini menjadi melodi yang memberi beliau motivasi untuk terus meningkatkan usaha memastikan bayi-bayi tersebut sentiasa selesa.
Lebih-lebih lagi katanya menjaga bayi pramatang ini mempunyai cabaran tersendiri, yang menuntut bukan sahaja pengetahuan dan kemahiran tetapi juga kesabaran dan kekuatan mental, agar bayi tersebut dapat diserahkan kembali kepada ibu bapa dalam keadaan segalanya baik.
“Sepanjang 18 tahun berkhidmat, saya uruskan ramai bayi pramatang termasuk yang bersaiz sebesar tapak tangan dengan berat dalam lingkungan 600 ke 800 gram saja. Lazimnya bayi sebesar ini lahir dalam tempoh kandungan berusia 26 minggu.
“Ada yang mempunyai komplikasi organ tidak matang, jadi memang mencabar jaga mereka,” jelasnya ketika ditemui Bernama, di sini baru-baru ini.
Menurut Siew, beliau juga perlu sentiasa mempersiapkan mental bagi mendepani keadaan yang meruntun jiwa apabila ada bayi pramatang tidak dapat diselamatkan.
CAKNA KEPERLUAN
Seseorang bayi dikategorikan sebagai pramatang apabila lahir ketika berada dalam kandungan kurang daripada 37 minggu. Tempoh kehamilan bagi kelahiran matang adalah antara 37 hingga 42 minggu.
Berkongsi lanjut, Siew berkata sebagai bayi pramatang, mereka perlukan pelbagai bantuan perawatan bagi meneruskan proses tumbesaran dengan inkubator sebagai antara alat utama.
Inkubator mempunyai pelbagai fungsi penting yang memenuhi keperluan bayi pramatang, antaranya mengawal suhu tubuh bayi, melindungi bayi daripada jangkitan serta memantau degupan jantung.
Selain itu, bayi pramatang juga menuntut kecaknaan yang tinggi para penjaga mereka, termasuk memahami bahasa tubuh bayi.
“Contohnya, tidak seperti kelahiran matang, bayi pramatang disusukan dengan kaedah orogastrik, iaitu menerusi tiub yang dimasukkan terus ke perut menerusi hidung kerana mereka belum mampu menghisap, menelan ataupun bernafas secara semula jadi.
“Penyusuan secara orogastrik ini tidak memberi kepuasan penuh kepada bayi. Jadi, apabila bayi mula merengek, menggeliat atau membuka mulut, itu merupakan bahasa tubuh bayi yang lapar dan mahu menyusu,” jelasnya lagi.
"KANGAROO CARE"
Turut berkongsi pengalamannya, Jururawat Kanan NICU Melanie Anne Rowe, 38, berkata bayi pramatang yang dimasukkan ke wad itu terpaksa berjauhan daripada ibu sejak hari pertama dilahirkan dan hanya didiscaj selepas benar-benar mencapai tahap perkembangan yang diperlukan.
“Tempoh rawatan bayi pramatang di NICU bergantung pada tahap kesihatan dan usia kandungan ketika dilahirkan. Secara amnya, bayi pramatang akan berada di NICU sehingga mereka mencapai tahap perkembangan yang sesuai, biasanya antara beberapa minggu hingga beberapa bulan.
“Bayi pramatang biasanya boleh didiscaj apabila berat badan mereka stabil (sekitar dua kilogram atau lebih), dapat bernafas sendiri tanpa bantuan mesin, boleh menyusu dengan baik, dan tiada masalah kesihatan kritikal,” katanya.
Beliau berkata sepanjang tempoh itu, bayi tetap memerlukan kehadiran dan sentuhan kasih sayang ibu bagi menyokong tumbesaran dan perkembangan emosinya.
“Bagi memenuhi keperluan ini, kami menggunakan kaedah ‘ibu kanggaru’, iaitu sentuhan kulit ke kulit. Caranya ialah kita letak bayi di atas dada ibu bagi mewujudkan ikatan dan kami juga menggalakkan si ibu memberi susu menggunakan susu badan. Keadaan ini akan membantu bayi berasa selesa dan menyokong tumbesarannya,” jelas beliau.
30,000 KELAHIRAN BAYI PRAMATANG
Sementara itu, memetik data Pendaftaran Neonatal Kebangsaan Malaysia 2020, Pakar Pediatrik dan Neonatalogi SMCV Dr Lee Mei Ling berkata Malaysia merekodkan kira-kira 300,000 kelahiran saban tahun, dan daripada jumlah itu sekitar 10 peratus atau 30,000 merupakan kelahiran pramatang.
“Kadar kelangsungan hidup bagi bayi yang lahir antara 28 hingga 32 minggu (dalam kandungan) dan menerima rawatan di NICU kini mencapai 80 hingga 90 peratus,” katanya kepada Bernama.
Dr Lee menjangkakan kadar kelahiran bayi pramatang terus meningkat pada tahun-tahun akan datang dengan kebanyakan dilahirkan pada usia kandungan 23 hingga 25 minggu, iaitu lebih awal berbanding sekarang.
“Penyumbang utamanya termasuk gaya hidup ibu hamil seperti stres, merokok, penggunaan vap, pengambilan alkohol dan dadah.
“Selain itu, masalah kesihatan ibu seperti hipertensi, diabetes atau jangkitan turut menyumbang kepada kelahiran pramatang,” katanya, menambah kehamilan dengan kandungan berkembar juga meningkatkan risiko lahir tidak cukup bulan.
Menurut Dr Lee, faktor sosioekonomi turut menyumbang kepada isu itu, khususnya di luar bandar apabila si ibu tidak memberi perhatian kepada rawatan antenatal dan pemakanan seimbang disebabkan oleh kekangan kewangan.
“Pemeriksaan antenatal yang berkala bagi ibu hamil, amalan gaya hidup sihat serta diet yang seimbang dan rehat yang mencukupi sangat penting bagi mengelakkan kelahiran bayi pramatang,” tegasnya.
PEMULIHAN BAYI PRAMATANG
Dr Lee berkata program intervensi awal sangat penting untuk pemulihan bayi pramatang bagi memastikan proses tumbesaran bayi yang sempurna, meliputi fisioterapi (pergerakan kepala, badan, kawalan postur), terapi okupasi (daya rangsangan terhadap motor kasar) dan terapi pertuturan.
“Biasanya saya akan melakukan rawatan susulan sekurang-kurangnya dua tahun untuk memastikan perkembangan bayi yang optimum, tiada masalah lain. Kita juga akan memastikan otot-otot bayi dalam keadaan baik dan tidak ada masalah perkembangan termasuk melalui proses berjalan, merangkak ataupun duduk.” katanya.
Mengulas tentang teknologi perubatan neonatal di Malaysia, beliau berkata negara ini mempunyai kemudahan perubatan yang setanding dengan beberapa negara maju di Asia.
“Dari segi kualiti rawatan bayi pramatang, Malaysia ada kepakaran dan teknologi, cumanya dari segi akses kepada teknologi terkini, termasuk penggunaan teknologi yang memanfaatkan kecerdasan buatan, perlu dipertingkat,” katanya.
(Artikel ini bersempena dengan Hari Pramatang Sedunia yang disambut pada 17 Nov setiap tahun)