Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka kekal dalam fasa tidak banyak berubah minggu depan, dengan pelabur memantau perkembangan domestik dan antarabangsa yang boleh mempengaruhi hala tuju pergerakan pasaran.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pelabur global akan menumpukan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) seperti Tuntutan Pengangguran Awal dan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (IPP) AS S&P Global.
Di peringkat domestik, pelabur tempatan pula akan mencari petunjuk baharu daripada data eksport dan import negara serta Indeks Harga Pengguna (IHP).
“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam aliran tidak banyak berubah pada julat 1,590 hingga 1,610 minggu depan yang mewakili paras sokongan dan rintangan,” katanya kepada Bernama.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI mengekalkan potensi untuk mencatatkan peningkatan semula.
Beliau berkata minat pelabur dalam sektor berorientasikan eksport seperti pembuatan sarung tangan dan teknologi mungkin kembali pulih, untuk meraih manfaat daripada peningkatan permintaan global.
“Sentimen yang semakin bertambah baik dalam kalangan pelabur tempatan boleh membantu indeks itu memperoleh semula momentum positif, berpotensi menembusi paras 1,600 minggu depan, sekiranya minat belian kekal kukuh,” katanya.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 28.80 mata kepada 1,592.44 daripada 1,621.24 pada minggu lepas.
Indeks FBM Emas susut 160.54 mata kepada 12,105.32, Indeks FBM 70 turun 46.51 mata kepada 17,818.88, dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 208.50 mata kepada 12,023.30.
Indeks FBMT 100 meningkat 126.67 mata kepada 11,966.46, manakala Indeks FBM ACE naik 2.24 mata kepada 5,147.16.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 100.18 mata kepada 19,156.84, Indeks Perladangan turun 5.40 mata kepada 7,626.18, dan Indeks Teknologi berkurang 1.57 mata kepada 59.58.
Indeks Tenaga turun 6.91 mata kepada 827.17 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 4.34 mata kepada 168.27, namun, Indeks Penjagaan Kesihatan naik 1.33 mata kepada 2,104.63.
Jumlah dagangan berkurang kepada 14.32 bilion unit bernilai RM12.14 bilion daripada 14.87 bilion unit bernilai RM12.83 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 7.47 bilion saham bernilai RM10.84 bilion daripada 7.63 bilion saham bernilai RM11.09 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan waran sebanyak 4.81 bilion unit bernilai RM561.08 juta berbanding 4.53 bilion unit bernilai RM691.43 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula menguncup kepada 2.02 bilion saham bernilai RM730.34 juta daripada 2.71 bilion saham bernilai RM1.03 bilion minggu lepas.
-- BERNAMA