PASARAN

Niaga Hadapan Emas Didagangkan Berhati-hati Minggu Depan

16/11/2024 10:37 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives mungkin didagangkan secara berhati-hati minggu depan berikutan kenaikan dolar US baru-baru ini, kata seorang penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata peniaga akan memantau dengan teliti sentimen pasaran selepas kejatuhan harga emas minggu ini, dengan menjangkakan pemotongan kadar Rizab Persekutuan AS yang lebih perlahan, telah menyokong kekuatan dolar US.

"Buat masa sekarang, kami melihat ke arah sebarang kemungkinan, dengan harga minggu depan dijangka bergerak antara US$2,540 hingga US$2,585. Pasaran emas mungkin bersiap sedia bagi menghadapi pergolakan dan ia masih jauh dari keuntungan," katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, niaga hadapan emas kebanyakannya didagangkan lebih rendah di tengah-tengah kemerosotan permintaan serta sentimen yang kurang bermaya, menjejaki pergerakan dalam pasaran emas COMEX AS.

Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta November 2024 mengakhiri minggu ini lebih rendah pada US$2,572.30 setiap auns troy daripada US$2,692.70 setiap auns troy yang dicatatkan pada minggu lepas.

Sementara itu, Disember 2024, Januari 2025, Februari 2025 dan April 2025 turut ditutup lebih rendah pada US$2,585.80 setiap auns troy berbanding U$2,705.60 pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan mengecil kepada 45 lot daripada 82 lot, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 36 kontrak daripada 31 kontrak sebelum ini.

Berdasarkan penetapan petang London Bullion Market Association pada 14 Nov, harga emas fizikal berada pada US$2,567.30 setiap auns troy .

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy