AM

JMM Giat Laksana Inisiatif Bawa Pulang Artifak Sejarah Negara Berada Di Luar Negara

16/11/2024 11:25 PM

KANGAR, 16 Nov (Bernama) -- Jabatan Muzium Malaysia (JMM) sedang giat melaksanakan inisiatif untuk membawa pulang koleksi artifak sejarah tanah air yang kini berada di luar negara sebagai langkah melindungi dan memelihara warisan budaya serta sejarah Malaysia.  

Ketua Pengarah JMM Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata pihaknya dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara sedang mengenal pasti pelbagai koleksi penting seperti dokumen sejarah, manuskrip serta bahan arkeologi termasuk rangka manusia purba yang berada di negara seperti United Kingdom dan Belanda.  

“Proses ini memerlukan masa dan penelitian mendalam. Kami sedang meneliti sama ada koleksi-koleksi ini dibawa keluar sebagai hadiah, dirampas atau dicuri.

“Pendekatan yang diambil termasuk menggunakan teknologi pendigitalan untuk menyalin dokumen-dokumen ini sebagai langkah awal,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Nostalgia Anak Kampung: Dunia Anak Bendang oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Rahimi Ismail di Muzium Kota Kayang, Kuala Perlis dekat sini hari ini. 

Beliau berkata data lengkap mengenai jumlah koleksi di luar negara masih dalam kajian dan yakin usaha itu mampu memperkukuh identiti nasional serta memberi manfaat kepada penyelidikan sejarah.  

Kamarul Baharin berkata inisiatif itu turut melibatkan kerjasama dengan pelbagai pihak antarabangsa untuk memastikan setiap koleksi yang dipulangkan dapat diuruskan secara terbaik berdasarkan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan.  

"Koleksi sejarah dari Sarawak telah berjaya dibawa pulang sebelum ini, yang membuktikan usaha berterusan JMM dalam memulihkan hak warisan negara," katanya.

Program Nostalgia Anak Kampung: Dunia Anak Bendang anjuran JMM menerusi Muzium Negara dan Muzium Kota Kayang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy