DUNIA

Kerjasama ASEAN, APEC Kekal Agenda Utama Pastikan Pembangunan Mampan, Integrasi Ekonomi

17/11/2024 12:34 AM

LIMA (Peru), 16 Nov (Bernama) -- Kerjasama erat antara ASEAN dan APEC kekal menjadi agenda utama untuk memastikan pembangunan mampan dan integrasi ekonomi yang lebih kukuh di rantau ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Menerusi sesi dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) bersama pemimpin ekonomi APEC, Tengku Zafrul berkata sebagai wakil Malaysia beliau melahirkan keyakinan komitmen tersebut akan terus memperkukuh kedudukan negara dalam membentuk masa depan ekonomi Asia-Pasifik yang lebih inklusif, mampan, dan berdaya saing

Selain itu, beliau turut menekankan visi Malaysia untuk memacu pertumbuhan mampan dan transformasi ekonomi serantau.

“Sebagai persediaan untuk mengetuai ASEAN pada 2025, Malaysia komited untuk mengukuhkan ekonomi hijau, mempercepat transformasi digital, dan memastikan keterangkuman ekonomi, dengan sokongan padu daripada rakan serantau di bawah kerangka ASEAN-APEC.

“Saya turut berkongsi kejayaan Malaysia dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI), khususnya dalam sektor data dan semikonduktor. Kedua-dua sektor ini kini menjadi asas penting dalam memperkukuhkan daya tahan ekonomi negara,” kata beliau menerusi satu hantaran di laman Instagram, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata Malaysia juga percaya kerjasama erat antara sektor awam dan swasta memainkan peranan penting dalam mencapai manfaat bersama untuk semua negara anggota.

Melalui kerjasama itu, katanya, akan dapat memastikan pembangunan ekonomi yang mampan dan integrasi serantau yang lebih kukuh.

Tengku Zafrul berada di sini bagi menyertai delegasi Malaysia diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasmi ke Peru selain menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC ke-31.

Negara-negara anggota APEC mewakili kira-kira tiga bilion penduduk atau hampir 30 peratus daripada penduduk dunia.

Perkumpulan itu juga membentuk hampir 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global dan hampir 50 peratus perdagangan dunia.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy