SUKAN

Ewgene Bangga Prestasi Atlet Negara Di Malaysia Ultra Trail UTMB

17/11/2024 06:18 PM

TAIPING, 17 Nov (Bernama) -- Kejohanan Malaysia Ultra Trail UTMB yang melabuhkan tirainya hari ini menyaksikan hanya satu rekod baharu kejohanan dicipta menerusi kategori lelaki 100 kilometer (km) dicatatkan oleh pelari China Duo Ji dengan catatan masa 11 jam 1 minit 18 saat.

Beliau berjaya memadam rekod terdahulu milik pelari negara Daved Simpat 12 jam 15 minit 40 saat yang dilakukan pada 2023 di kejohanan itu yang dahulunya dikenali Malaysia Mountain Trail Festival (MMTF).

Lebih membanggakan, dua pelari denai Malaysia turut mencipta kejayaan apabila Milton Amat menduduki tempat ketiga, manakala Haziq Asyraf berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok 10 terbaik.

Bagi kategori wanita pula, tidak kurang hebatnya apabila empat wakil Malaysia, Nurazlina Razali, Lela Ismail, Peg San Tan dan Lim Siok Har turut berada di kelompok 10 terbaik bersama barisan pelari elit dunia yang lain.

Pengarah Larian Malaysia Ultra Trail UTMB Ewgene Tan memuji serta melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian atlet negara.

“Berada dalam kelompok 10 terbaik bukanlah sesuatu yang mudah. Ini menunjukkan kualiti atlet larian denai yang kita miliki di Malaysia,” katanya.

Beliau turut menambah, kejayaan atlet negara mencerminkan perkembangan positif sukan larian denai di Malaysia.

Menyentuh penganjuran kali ini, Ewgene berkata kejohanan berkenaan bukan sahaja memberi impak besar kepada sukan larian denai, malah turut memberi kesan positif kepada ekonomi negara melalui penglibatan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.

“Saya merupakan sebahagian daripada kumpulan UTMB dan pakar teknikal larian denai bagi rantau Asia. Saya ingin membantu mengembangkan sukan larian ultra denai di rantau ini.

“Diharapkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, kita dapat menganjurkan kejohanan ini di Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy