SUKAN

Pau Marti Tak Panik Harimau Malaya Hilang Tonggak

17/11/2024 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Pengendali skuad Harimau Malaya Pau Marti Vicente tidak panik meskipun kehilangan beberapa tonggak utama menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa kedua menentang India di Stadium Gachibowli, Hyderabad, India esok.

Beliau berkata skuad kebangsaan memiliki ramai pemain berkebolehan yang mampu memikul tanggungjawab, sekali gus bersedia menghadapi cabaran lawan yang menduduki ranking ke-125 dunia itu.

"Kita tahu pemain seperti Arif Aiman ​​​​Hanapi sangat bagus kerana corak permainannya bertaraf antarabangsa. Namun, kami juga mempunyai pemain berbakat lain dan akan memastikan persiapan sewajarnya dibuat untuk pertemuan menentang India.

“Perlawanan persahabatan ini sangat penting sebagai persiapan untuk dua kejohanan berbeza dan fokus utama kami adalah untuk menghadapi setiap perlawanan sebaik mungkin sebelum memikirkan kejohanan lain,” katanya pada sidang media praperlawanan itu di Hyderabad hari ini.

Menerusi kenyataan media Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini, tiga tonggak utama iaitu Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhammad Feroz Baharudin dan Matthew Davies telah dilepaskan untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia yang bermula minggu depan selepas mendapat permohonan daripada kelab mereka Johor Darul Ta'zim (JDT).

Vicente berkata Malaysia pernah menewaskan India 4-2 dalam Pestabola Merdeka tahun lepas, namun situasi kali ini cukup berbeza serta tidak boleh menjadi ukuran.

"Kita tewaskan India tahun lepas, tetapi sekarang pasukan mereka lebih kuat, dan ini akan menjadi cabaran besar buat kami. Sudah tentu perlawanan esok akan menarik dan kami berharap dapat mencatat kemenangan untuk memperbaiki ranking dunia,” katanya.

Beliau dalam masa sama berkata pihaknya telah merencana strategi terbaik dalam usaha menafikan misi balas dendam India pada pertembungan itu, biarpun terpaksa mengharungi tempoh persediaan yang disifatkan singkat.

"India ialah pasukan yang bagus dan mereka juga inginkan kemenangan setelah beberapa perlawanan, kami perlu bersedia (untuk menghadapi cabaran mereka),” katanya.

Khamis lepas, anak buah Pau Marti mencatat kemenangan 3-1 ke atas Laos pada aksi persahabatan pertama di Stadium PAT, Bangkok, Thailand.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy