SUKAN

Kompleks Sukan Bukit Merbau Dijangka Mampu Penuhi Sasaran 20,000 Penonton

17/11/2024 08:51 PM

KOTA BHARU, 17  Nov (Bernama) -- Kompleks Sukan Bukit Merbau yang terletak di Selising, Pasir Puteh dijangka mampu merealisasikan sasaran kapasiti 20,000 penonton, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan Zamakhshari Muhamad.

Beliau berkata kompleks itu bakal dilengkapi padang bola sepak dan trek olahraga selain arena tertutup yang boleh memuatkan 1,000 penonton, serta gelanggang pelbagai guna.

"Antara kerja-kerja yang sedang giat dijalankan …. kerja pemasangan paip air utama dan pemasangan sistem retikulasi air di sepanjang jalan utama dengan jarak dua kilometer, kerja asas tapak seperti ujian cerucuk dan lain-lain.

"Bagi kemajuan fizikal pula, status pembinaan sehingga kini mencapai 5.26 peratus," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Zamakhshari berkata kompeks itu akan turut dilengkapi stadium hoki berkapasiti 500 penonton serta dua padang, pusat skuasy dengan kapasiti 100 penonton bersama lapan gelanggang kekal serta satu gelanggang mudah alih.

"Turut dibina lapang sasar menembak dengan kapasiti 100 penonton dilengkapi dengan kemudahan ‘Indoor Shooting’ 30 meter (m) bagi 30 lorong dan ‘Outdoor Shooting’ 25m serta 50m sebanyak 15 lorong," katanya.

Beliau berkata kompleks stadium berkenaan ialah di bawah peruntukan RM256 juta Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan bakal menjadi lokasi acara bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy