JENAYAH & MAHKAMAH

11 Ditahan Dalam Serbuan Stor Ketum Dan Ubat Batuk

18/11/2024 01:44 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Polis menahan 11 lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran daun ketum di sekitar ibu negara dalam serbuan di sebuah stor di Taman Tan Yei Lai di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata kesemua suspek berusia 27 hingga 47 tahun itu ditahan kira-kira 8.50 malam ketika sedang memunggah bahan berkenaan di hadapan premis disyaki dijadikan tempat penyimpanan daun ketum dan ubat batuk.

Beliau berkata sebanyak 1,374 kilogram (kg) daun ketum dan 50 liter cecair kodein (ubat batuk ) turut dirampas dalam serbuan itu.

“Siasatan awal mendapati seorang suspek yang bekerja sebagai pemandu lori telah terlibat kegiatan pengedaran daun ketum sejak tiga bulan lepas dan memproleh bekalan daun ketum daripada seorang lelaki dari negara jiran di kawasan utara Semenanjung Malaysia.

“Seterusnya bekalan akan dihantar ke Kuala Lumpur dengan kekerapan seminggu sekali di sekitar kawasan Jalan Tan Yew Lai,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini hari ini.

Beliau berkata saringan air kencing terhadap semua suspek adalah negatif dadah manakala enam daripada mereka mempunyai rekod lampau kesalahan berkaitan kes dadah.

“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM63,880 dan bahan yang dirampas boleh dibekalkan kepada 2,000 pengguna dadah. Polis juga sedang mengenal pasti ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan  diperoleh,” katanya.

Semua suspek direman selama tujuh hari mulai 16 hingga 22 Nov bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy