AM

MCMC Arah Pengendali Media Sosial Turunkan Audio, Video Dakwaan Rasuah ADUN

18/11/2024 02:50 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengarahkan pengendali media sosial untuk menurunkan audio dan video berhubung dakwaan rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkaitan perolehan projek mineral di Sabah.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ia susulan permintaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

“PDRM (siasat) pasal ugutan bunuh. PDRM minta (bantuan) MCMC (sebab) ada sejumlah video yang bercakap tentang isu yang boleh menjejaskan siasatan. Dia minta MCMC untuk turunkan.

“SPRM pun dah keluarkan kenyataan supaya diturunkan agar tidak mengganggu siasatan tetapi MCMC tidak terlibat dalam siasatan, cuma kami diminta (untuk turunkan kandungan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bil.2 2024 di Bukit Aman di sini, hari ini.

Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan mengenai beberapa rakaman video memaparkan ADUN didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan syarikat untuk projek di sebuah negeri.

Perbincangan dalam video itu melibatkan ahli perniagaan berkenaan yang meminta ahli politik termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, memulangkan wang itu apabila lesen untuk projek berkenaan telah dibatalkan, bagaimanapun wajah ahli perniagaan itu tidak kelihatan.

Semalam, media melaporkan SPRM Sabah telah memanggil lima ADUN untuk dirakam percakapan, berhubung dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di Sabah.  

Pada 13 Nov lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan pihaknya menjalankan siasatan berkaitan kes ugutan bunuh yang diterima pemberi maklumat selepas mendakwa mempunyai lapan video membabitkan kejadian tersebut.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy