AM

Fahmi Ucap Takziah Buat Keluarga Ketua Jurukamera Unit Visual RTM

22/11/2024 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga Ketua Jurukamera Unit Visual Radio Televisyen Malaysia (RTM) Jazarul Arif Jamaludin yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Fahmi dalam hantaran di Facebook berkata beliau menerima perkhabaran duka mengenai pemergian Jazarul Arif daripada tenaga kerja RTM dan menyifatkannya satu kehilangan besar buat keluarga RTM, khususnya di unit visual. 

“Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Pagi ini saya menerima khabar yang amat mendukacitakan daripada rakan-rakan di RTM. Allahyarham dikenali oleh sahabat handai dan rakan-rakan sepejabat sebagai seorang yang cukup berdedikasi dan komited dalam melaksanakan tugas serta sangat disenangi. 

“Sebagai ketua jurukamera, beliau telah mengemudi pasukan dengan cemerlang. Saya ucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat Allah SWT. 

“Takziah juga kepada warga RTM,” katanya.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Jazlira Syakira, 19, ketika dihubungi Bernama mengesahkan  bapanya menghembuskan nafas terakhir pada 1.52 pagi, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mengadu sesak nafas pada 11.30 malam, semalam.

“Sebelum ini ayah saya ada mengadu sakit berkaitan jantung, tapi ayah tidak mahu pergi dapatkan rawatan di klinik. Ayah sudah selesai menjalani proses bedah siasat 10 pagi tadi.

"Jenazah disolatkan di Masjid RTM Angkasapuri,” katanya.

Jazarul Arif yang telah berkhidmat di RTM selama 19 tahun akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara.

Jazarul, 46, meninggalkan seorang balu, Suridanila Abu Bakar dan empat orang cahaya mata.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy